Adakah tindakan BAM melantik James Chua adalah yang terbaik atau sekadar tangkap muat?
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah mengumumkan perlantikan bekas pemain badminton negara, James Chua sebagai jurulatih baru perseorangan wanita negara.
Keputusan ini mengejutkan ramai pihak tatkala Chua tidak mempunyai rekod yang memberangsangkan selaku seorang jurulatih sebelum ini.
Pengarah Prestasi Tinggi BAM, Tim Jones mengesahkan perlantikan jurulatih berasal dari Sarawak itu bagi membantu mengembalikan kegemilangan perseorangan wanita negara.
Kehebatan Chua sebagai seorang pemain tidak dapat disangkal berdasarkan pencapaian beliau semasa mewakili negara di peringkat antarabangsa.
Kejayaan beliau menewaskan rakan senegara, Ong Ewe Hock di pentas akhir kejohanan Terbuka Malaysia 2002 merupakan antara detik terbaik sepanjang kariernya.
Namun, kemampuan beliau di arena kejurulatihan masih belum dapat dibuktikan meskipun pernah berkelana ke Jerman untuk bersama Pusat Latihan Persatuan Badminton Dunia (BWF) pada tahun 2009.
Keadaan ini sedikit membimbangkan peminat tatkala persembahan yang ditunjukkan oleh barisan pemain perseorangan wanita negara berada di tahap yang mengecewakan.
Muncul juga persoalan tentang masa depan seorang lagi jurulatih, Loh Wei Sheng yang sebelum ini memegang jawatan selaku jurulatih utama skuad perseorangan wanita.
Barisan pemain perseorangan wanita negara dilihat sentiasa gagal mempamerkan aksi cemerlang di kejohanan besar.
Lebih menyedihkan, BAM tidak menghantar wakil bagi acara ini di kejohanan Terbuka Malaysia tempoh hari.
Sebelum ini, bekas pemain negara Wong Tat Meng ada menyatakan kekecewaannya terhadap BAM yang tidak mengendahkan hasratnya bagi membantu barisan pemain perseorangan wanita negara.
Tat Meng dilihat sebagai calon yang paling sesuai untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan bekas jurulatih, Indra Wijaya yang kini melatih perseorangan utama negara, Lee Zii Jia.
Beliau yang kini melatih pasukan Hong Kong mempunyai reputasi yang cukup gah di arena kejurulatihan dunia.
Tat Meng yang juga pernah bersama pasukan kejurulatihan Korea Selatan berjaya membimbing pemain perseorangan wanita utama negara tersebut, An Se-young sehingga berjaya berada di kedudukan ranking tertinggi dunia.
Chua pada ketika ini merupakan jurulatih untuk program pembangunan pemain muda di negeri Sarawak melalui tugas yang digalasnya bersama Kuching Badminton Association (KBA) bermula dari September 2020.
Terdahulu, Chua pernah disenaraikan sebagai antara calon jurulatih skuad muda BAM pada tahun 2019 oleh Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM, Wong Choong Hann sebelum digugurkan pada saat akhir.
Untuk makluman, Chua merupakan rakan sepasukan Choong Hann yang telah sama-sama membantu pasukan lelaki negara untuk menggondol pingat gangsa di Sukan Asia 1998 dan 2002.