Wajah baru Stadium Sultan Muhammad IV jadi motivasi tambahan Kelantan FC, Kelantan United FC ke Liga Super

12,139

Stadium bagi dua pasukan Liga Perdana, Kelantan FC dan Kelantan United FC iaitu Stadium Sultan Muhammed IV yang ditutup bagi kerja-kerja naik taraf sejak beberapa bulan lalu akhirnya dilaporkan akan siap dalam masa terdekat.

Beberapa gambar bilik persalinan dan tandas di stadium itu yang sudah dinaik taraf tular di media sosial baru-baru ini.


Reka bentuk dalaman kedua-dua ruang itu kelihatan lebih mewah dan moden berbanding sebelum ini.

Menurut laporan, stadium itu boleh digunakan semula pada pertengahan Julai dengan lampu limpah yang baru serta baik pulih kemudahan sedia ada melibatkan kos bernilai RM5 juta.

Ia adalah satu berita yang mengujakan buat penyokong kedua-dua pasukan yang sudah lama tidak merasa suasana di stadium keramat mereka itu.

Bagi para pemain pula, sudah tentu dapat beraksi semula di β€˜rumah’ sendiri akan memberi satu tonik tambahan kepada mereka terutama bagi Kelantan yang kini berada di tangga kedua liga dan berpeluang cerah untuk ke Liga Super musim depan.

Kelantan kini mengumpul 22 mata, hanya dipisahkan dengan perbezaan gol dengan Terengganu FC II yang berada di tangga pertama, namun kurang dua perlawanan.

Kelantan United pula berada di tangga kelima dengan 15 mata tetapi masih berada dalam persaingan untuk ke Liga Super musim depan.

Ia akan menjadi satu detik yang amat manis dan bersejarah sekiranya kedua-dua pasukan berjaya melayakkan diri ke Liga Super.

Mereka mungkin boleh meraikan kejayaan tersebut bersama di stadium tersebut dengan kehadiran ribuan penyokong, seperti yang dilakukan di luar negara.

Jarang sekali pasukan-pasukan di negara ini meraikan kejayaan mendakap trofi atau kejuaraan dengan menganjurkan satu upacara yang dihadiri oleh penyokong.

Penyokong Kelantan juga dikenali dengan sikap fanatik dan semangat yang kuat terhadap pasukan kesayangan mereka, jadi ia bakal menjadi satu sambutan yang amat meriah sekiranya perkara itu betul-betul berlaku hujung musim ini.

Apa yang pasti, pembukaan semula stadium itu kepada penyokong kedua-dua pasukan pasti memberi motivasi tambahan kepada para pemain selepas ini.