Aidil buat percaturan ‘berani mati’, pertaruhkan pemain pertahanan tempatan muda untuk harungi cabaran musim ini

3,892

Pasukan Kedah Darul Aman FC kini akan mempertaruhkan barisan pertahanan tempatan muda bagi menghadapi saingan musim ini.

Ini adalah susulan daripada pengumuman yang dilakukan oleh pertahanan import mereka, Marc Vales tentang pengunduran seketika beliau daripada menyarung jersi pasukan tersebut ekoran dari pembedahan yang telah beliau jalani.


Tindakan ini dilihat sebagai langkah ‘berani mati’ tatkala Kedah akan menghadapi saingan separuh akhir Piala AFC 2022 Zon ASEAN selepas ini bertemu dengan PSM Makassar FC dari Indonesia.

Meskipun skuad Sang Kenari ini telah berjaya membuktikan kemampuan mereka di saingan kumpulan Piala AFC walaupun dengan hanya meletakkan pemain tempatan di barisan pertahanan, ketiadaan pemain yang mempunyai kelebihan dari segi fizikal akan sedikit merencatkan momentum pasukan ini.

Tambahan pula, aksi kurang konsisten Kedah yang telah bolos sebanyak 17 kali di kancah Liga Super sedikit menggusarkan peminat.

Ketua jurulatih pasukan, Aidil Shahrin mempunyai visi yang unik dan sukar dijangka melihat kepada pendekatan dan strategi yang digunakan oleh beliau sepanjang membimbing pasukan ini.

Perkara ini dapat dilihat menerusi pelbagai aspek seperti pemilihan ketua pasukan yang tidak tetap.

Sebelum ini, pemain pertahan, Rodney Calvin merupakan antara pemain yang pernah diberi tanggungjawab menggalas tugas tersebut selain Syazwan Zainon dan juga penyerang Ronald Ngah yang dipilih pada Piala AFC baru-baru ini.

Walaubagaimanapun, menarik untuk para penyokong melihat kemampuan bahagian pertahanan yang dipertaruhkan oleh Aidil ini bagi meneruskan momentum di saingan Liga Malaysia (Liga M) selepas ini.

Purata umur pemain pertahanan yang diturunkan oleh pasukan Kedah adalah di bawah usia 25 tahun dan situasi ini memberi gambaran yang baik terhadap pembangunan pemain muda di liga tempatan.

Pada beberapa perlawanan sebelum ini, pertahanan muda Kamil Akmal dilihat berjaya mempamerkan aksi terbaik beliau bagi membantu pasukannya kembali mendapatkan kemenangan pada dua perlawanan terakhir.

Kemasukan pertahanan baru, Akmal Zahir dari Melaka United FC dilihat terbaik kepada pasukan selepas mereka terumbang-ambing pada permulaan musim.

Diharap pasukan Kedah akan dapat meneruskan rentak kecemerlangan mereka untuk kembali menghambat pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim FC yang sedang bersaing rapat dengan pasukan Sabah FC.

Vales yang telah beraksi sebanyak 78 kali bersama pasukan kebangsaan Andorra telah berjaya melakukan tujuh penampilan di Liga Super musim ini selepas menyertai pasukan Kedah pada Januari lalu.