Pestabola Merdeka jadi salah satu pilihan untuk KPG, sediakan pasukan unggul ke Piala Asia 2023

4,658

Ketua jurulatih pasukan negara, Kim Pan-gon perlu mula melakukan perancangan bagi menghasilkan sebuah pasukan yang lengkap menjelang pusingan akhir Piala Asia tahun hadapan.

Penganjuran Pestabola Merdeka dilihat mampu menjadi pilihan terbaik sebagai medan persiapan skuad kebangsaan sebelum beraksi di piala terbesar benua Asia itu.


Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar mengakui pihaknya telah melakukan beberapa pelan persiapan ke Piala Asia 2023 termasuk penganjuran Pestabola Merdeka.

“Ada dalam perancangan, namun perlu bergantung kepada pelan KPG sendiri.

Ini kerana perlu diadakan dalam jadual FIFA dan perlu selari dengan jadual Liga Malaysia yang akan menjadi semakin padat selepas ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pestabola Merdeka sebelum ini berjaya menarik minat beberapa pasukan besar di dunia seperti Korea Selatan dan New Zealand.

Penganjuran kejohanan persahabatan besar seperti ini akan membantu skuad Harimau Malaya untuk membentuk keserasian yang lebih unggul.

Ketika ini, pasukan negara dilihat berada di tahap terbaik menerusi prestasi yang ditunjukkan sepanjang pusingan kelayakan Piala Asia 2023 sebelum ini.

Momentum ini perlu diteruskan tatkala mereka mempunyai lebih kurang setahun sebelum melangkah ke aksi sebenar piala berprestij di Asia itu.

Pada masa yang sama, harapan peminat untuk menyaksikan skuad negara menentang pasukan di ranking yang lebih tinggi mungkin menjadi kenyataan.

“Saya masih menunggu jawapan daripada beberapa negara yang berada di ranking bawah 100 untuk bermain dengan kita.

Tetapi setakat ini kita sudah mempunyai pilihan untuk perlawanan pada bulan September dan bulan November.”

Percaturan dalam menjemput pasukan-pasukan besar yang berada di ranking 100 terbaik akan memberikan kelebihan kepada pemain negara untuk berhadapan dengan kualiti permainan yang berbeza dan lebih mencabar.

Pan-gon perlu terus bekerjasama dengan FAM bagi mencari cara untuk terus mempertingkatkan kualiti kesemua pemain yang akan dipilih untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan.

FAM telah memberi kepercayaan sepenuhnya kepada pengendali dari Korea Selatan itu untuk melakukan perancangan terhadap pasukannya.