Ashman Rizal tetap pentingkan pelajaran walaupun kejar impian sebagai pemain bola sepak

205

Pemain muda negara yang berkelana di Denmark, Ashman Rizal tetap mementingkan pelajaran walaupun sedang mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang pemain bola sepak profesional.

Beliau yang kini bersama skuad B-15 Esbjerg fB berkata beliau mahu cemerlang dalam pelajaran di samping memberi tumpuan pada latihan bola sepak.


Ketika ini pemain berusia 14 tahun itu memasang impian untuk beraksi bersama skuad kebangsaan negara dalam masa lima tahun akan datang.

“Sebagai seorang pemain muda saya mahu buat yang terbaik dalam pelajaran dan dalam masa lima tahun saya berharap saya masih sedang belajar.

Ketika itu juga saya harap dapat beraksi di kelab yang lebih besar seperti FC Copenhagen dan dapat menyarung jersi Malaysia,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau ketika ini membahagikan masa antara sekolah dan sesi latihan yang berlangsung tiga hari seminggu dan bermain dalam saingan liga pada hujung minggu.

Ashman yang beraksi di posisi pertahanan tengah berkata bahawa bola sepak Malaysia kini sedang berkembang dan berada di tahap yang lebih baik berbanding sebelum ini.

Beliau juga melihat semakin ramai pemain muda negara yang berhijrah ke luar negara sebagai satu perkembangan positif buat bola sepak Malaysia.

Jelasnya, pengalaman bermain di Eropah adalah amat berharga dan berhasrat untuk berkongsi dengan pemain-pemain tempatan satu hari nanti.

 “Jika saya pulang satu hari nanti sudah tentu saya mahu berkongsi pengalaman bermain di Eropah dengan pasukan tempatan kerana budaya bola sepak di sini sangat berbeza.

Gaya permainan di sini juga agak pantas dan pemain tempatan mempunyai fizikal yang lebih besar jadi itu merupakan antara cabaran bagi saya.”

Dalam pada itu beliau bersyukur dengan sokongan yang diberikan oleh ibu bapanya terutama dari segi kewangan untuk beliau mengejar cita-cita sebagai pemain bola sepak.

Menurut Ashman, ibu bapanya membelanjakan wang untuk kelengkapan seperti jersi dan but, serta segala yuran yang diperlukan.

Bapanya juga merupakan individu yang bertanggungjawab mendapatkan sesi percubaan bersama Esbjerg fB ketika mereka berpindah ke bandar itu pada tahun 2017.

Ashman dilahirkan di Miri, Sarawak pada tahun 2008 dan menetap di situ sehingga berusia lapan tahun sebelum berpindah ke Denmark selepas ibu bapanya mendapat tawaran pekerjaan di negara itu.