FAM sudah boleh pertimbang serap masuk pasukan perubatan & kecergasan Melaka United untuk skuad Harimau Malaya

23,660

Semalam penyokong telah terpukau melihat aksi lincah pemain Melaka United, Ifedayo Olusegun yang mempamerkan aksi yang cukup cemerlang termasuk menjaringkan dua gol untuk membenam Selangor FC 2-0.

Walaubagaimanapun, penyokong bukan sahaja kagum dengan Ifedayo kerana mampu pamer aksi mantap selepas pulih dari kecederaan, tetapi mereka lebih kagum dengan barisan pasukan perubatan dan jurulatih kecergasan yang mampu memulihkan pemain itu dalam tempoh tiga hari sahaja.


Sebelum ini ketua jurulatih Melaka United, Asri Ninggal mengesahkan pemain daripada Nigeria itu tidak dapat diturunkan ketika pasukannya menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) kerana dikatakan mengalami kecederaan hamstring.

Apa yang membuatkan ramai kagum dengan pasukan perubatan dan jurulatih kecergasan pasukan Hang Tuah itu adalah cara mereka memulihkan penjaring terbanyak Liga Super musim lalu begitu cepat.

Ini kerana kebiasaannya apabila seseorang pemain mengalami kecederaan hamstring, mereka perlu jalani proses pemulihan dan rehat sekurang-kurangnya 10 hari atau dua bulan begantung kepada tahap kecederaan yang dialami.

Pujian harus diberikan kepada doktor pasukan, Adeeban Koomar Ayyakanoo; jurulatih kecergasan Norhudahiroshi Razak dan ahli fisioterapi, Fakhrusy Syakirin Yaacob dan Muhammad Rozairen Hairudin.

Kehebatan pasukan perubatan dan jurulatih kecergasan pasukan Melaka United patut mendapat perhatian Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mana mereka boleh guna kepakaran itu untuk skuad Harimau Malaya.

Jika pasukan kebangsaan mempunyai kepakaran tempatan sebegini, ketua jurulatih Kim Pan-gon selepas ini tidak perlu risau lagi dengan masalah kecederaan pemain, secara tidak langsung ia akan meningkatkan kualiti permainan pasukan negara.