DNA Jerman terus gagal, perlawanan Piala FA jadi penentu nasib Michael Feichtenbeiner

1,389

Masa depan ketua jurulatih pasukan Selangor FC, Michael Feichtenbeiner dijangka akan ditentukan pada perlawanan Piala FA Jumaat ini bertemu musuh tradisi, Kuala Lumpur City FC.

Dilaporkan bahawa terdapat satu mesyuarat tergempar telah diadakan oleh pihak pengurusan Gergasi Merah setelah tewas 2-0 di tangan Melaka United.


Pasukan Selangor dilihat terus gagal mencari rentak kecemerlangan selepas tewas besar di tangan Johor Darul Ta’zim sebelum ini.

Kekalahan pada perlawanan semalam terus menambah duka pasukan ini selepas gagal memperoleh tiga mata pada perlawanan menentang Sabah FC meskipun memberi asakan bertali arus.

Ketajaman bekas pemain Merah Kuning, Ifedayo Olesegun nyata menjadi duri dalam daging kepada skuad ini yang terus terumbang ambing meskipun melakukan beberapa perubahan pada jendela perpindahan di awal musim.

Lebih menghairankan, pengendali dari Jerman tersebut dilihat lebih cenderung menggunakan khidmat pemain import backup seperti Richmond Tetteh yang telah dimasukkan dari pasukan Selangor FC II berbanding pemain import utama.

Pada masa yang sama, masalah di bahagian pertahanan terus menjadi isu utama pasukan ini yang telah bolos sebanyak 17 kali musim ini.

Feichtenbeiner yang mempunyai pengalaman luas di Eropah gagal mempamerkan kualitinya selepas dinaikkan menjadi ketua jurulatih skuad utama Selangor pada tahun 2021.

DNA bola sepak Jerman yang ingin dibawa oleh Feichtenbeiner sebelum ini dilihat masih gagal mencapai matlamat yang ditetapkan oleh kumpulan penyokong, UltraSel pada musim ini.

Kehampaan ini jelas terlihat sewaktu kumpulan penyokong yang turun ke Stadium Hang Jebat melaungkan chant ‘istimewa’ untuk menyuarakan kekecewaan mereka.

Aksi tidak konsisten oleh pasukan ini menggusarkan penyokong tatkala sasaran 50 mata yang ditetapkan oleh UltraSel pada awal musim dilihat sebagai sesuatu yang realistik dan mampu dicapai.

Ini juga akan memberikan tekanan kepada pengganti Feichtenbeiner yang akan memikul tanggungjawab yang sangat berat untuk mengembalikan pasukan ke landasan sebenar selepas kekecewaan demi kekecewaan yang telah dihadapi dalam beberapa minggu ini.

Pada masa yang sama, lawan mereka KL City kini berada di momentum terbaik setelah berjaya meloloskan diri ke peringkat separuh akhir Piala AFC 2022 bagi Zon ASEAN yang akan berlangsung pada Ogos ini.

Kejayaan membenam pasukan Singapura, Tampines Rovers pada perlawanan terakhir akan dijadikan motivasi untuk The City Boys mempamerkan aksi terbaik pada saingan Piala FA.