Populariti ‘ref botak’ bukti mutu pengadilan Liga Malaysia di tahap yang teruk

1,729

Di dalam dunia bola sepak, bukan pemain atau jurulatih sahaja yang boleh menjadi terkenal dan menjadi sebutan para peminat malah pengadil juga kadang-kadang turut terkena tempias populariti.

Nama-nama seperti Pierluigi Collina, Howard Webb, Mark Clattenburg dan lain-lain merupakan antara pengadil yang amat dikenali dalam dunia bola sepak, dan lebih terkenal berbanding kebanyakan pemain.


Di Malaysia, nama Zulkarnain Zakaria atau lebih dikenali sebagai ‘ref botak’ boleh dikatakan amat popular dalam kalangan peminat bola sepak tempatan kerana sering terlibat dalam beberapa keputusan kontroversi.

Musim ini sahaja sudah beberapa kali beliau menjadi tumpuan dan dikritik gara-gara keputusan kontroversi yang diberikan dalam perlawanan yang diadilinya.

Yang terbaru ketika perlawanan Liga Super antara Sri Pahang FC dan Terengganu FC Ahad lalu, beliau turut dikecam hebat kerana keputusannya yang didakwa menyebelahi Terengganu.

Ketua jurulatih Sri Pahang, Christophe Gamel juga pelik mengapa Zulkarnain mengarahkan penalti pada minit ke-77 diambil semula walaupun penjaga gol Mamadou Samassa tidak melakukan sebarang kesalahan.

Ketika perlawanan antara Terengganu dan Selangor FC April lalu pula, beliau juga menjadi tumpuan selepas memeluk ketat pemain Selangor, Nik Shariff selepas beliau mengasari pemain lawan.

Tindakan itu dianggap ‘lucu’ oleh peminat bola sepak tempatan kerana jarang sekali pengadil menyentuh pemain dengan ‘mesra’ apatah lagi memberikan pelukan.

Populariti beliau juga amat dahsyat sehinggakan peminat bola sepak tempatan menjadikan gambarnya sebagai ‘meme’.

Di sebalik populariti yang dikecapi pengadil yang berasal dari Negeri Sembilan itu, ia menunjukkan betapa teruknya mutu pengadilan Liga Malaysia.

Bukan sahaja Zulkarnain, banyak lagi pengadil-pengadil lain yang membuat kesilapan ketika mengadili perlawanan.

Malah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga pernah mengakui beberapa kesilapan pengadil tetapi ia terus berlaku.

Namun kesilapan tidak seharusnya diletakkan 100 peratus di bahu pengadil kerana mereka tidak mempunyai bantuan teknologi seperti teknologi garisan gol dan video bantuan pengadil (VAR) yang dicipta untuk meminimakan kesalahan pengadil.

Liga Malaysia kini semakin meningkat dari segi ranking jadi teknologi seperti itu seharusnya sudah wujud supaya kualiti liga tidak terjejas disebabkan kesalahan pengadil.