Perpindahan Jonathan Khemdee ke ‘liga bawahan’ boleh dijadikan inspirasi buat Luqman Hakim, Hadi Fayyadh
Pada Sukan SEA Vietnam Mei lalu, pertahanan tengah kacukan Thailand-Denmark, Jonathan Khemdee merupakan antara bintang muda yang mencuri tumpuan dan dikatakan bakal menjadi tonggak pertahanan Thailand pada masa hadapan.
Beliau juga mempamerkan aksi yang baik pada Piala Asia B-23 bulan lalu, termasuk ketika menewaskan Malaysia 3-0 di peringkat kumpulan.
Khemdee baru saja melengkapkan perpindahan daripada kelab divisyen pertama Denmark, Odense Boldklub (OB) ke Næstved Boldklub yang bermain di divisyen kedua Denmark.
Pemain berusia 20 tahun itu hanya melakukan satu penampilan bersama skuad utama sejak menyertai OB pada tahun 2020.
Walaupun Khemdee ada membuat penampilan beberapa kali bersama pasukan B-19 OB, beliau tetap mengambil keputusan untuk keluar secara pinjaman ke kelab di divisyen kedua.
Ia menunjukkan kesungguhan beliau untuk mendapatkan minit permainan dengan berhijrah ke liga yang lebih rendah.
Mungkin ada sesetengah pemain yang melihat perpindahan ke pasukan yang lebih kecil atau liga yang lebih rendah merupakan satu downgrade, tetapi apa guna berada di kelab yang besar jika tidak beraksi?
Lebih-lebih lagi sebagai seorang pemain muda, adalah penting untuk mendapatkan minit permainan bagi meningkatkan lagi tahap permainan.
Kita sehingga kini masih lagi tertunggu-tunggu untuk melihat kelibat dua pemain negara, Luqman Hakim dan Hadi Fayyadh bermain dengan lebih kerap bersama pasukan mereka.
Sejak menyertai K.V. Kortrijk pada 2020, Luqman hanya satu kali diturunkan manakala Hadi Fayyadh yang berada di Jepun sejak 2019 bersama Fagiano Okayama dan kini mewakili Azul Claro Numazu sejak 2021 juga hanya sekali melakukan penampilan dalam perlawanan kompetitif.
Mungkin apa yang dilakukan oleh Khemdee ini boleh dicontohi oleh kedua-dua pemain itu yang merupakan harapan barisan serangan negara pada masa depan.
Tidak perlu malu untuk pergi ke liga yang lebih rendah atau kelab yang lebih kecil sekiranya peluang di kelab sedia ada terhad, asalkan dapat turun dengan kerap dan mendapat minit permainan.