Kemunculan seorang lagi ‘Fandi Brothers’, Singapura mampu bangkit dari duka Piala Asia 2023

2,969

Penyerang muda Albirex Niigata FC, Ilhan Fandi meneruskan kecemerlangan yang dipamerkan oleh dua abangnya, Irfan Fandi dan Ikhsan Fandi yang kini beraksi bersama pasukan BG Pathum United di Thailand.

Ilhan muncul sebagai salah seorang penjaring pada perlawanan menentang Tampines Rovers FC di saingan Liga Singapura baru-baru ini.


Gol tersebut merupakan jaringan ketiga Ilhan selepas diturunkan pada empat perlawanan liga bersama pasukan.

Situasi ini melihatkan kejayaan Ilhan dalam merebut tempat di dalam pasukan yang dipenuhi oleh pemain dari gergasi Asia, Jepun.

Kejayaan pemain muda ini menjadi petanda baik untuk bola sepak Singapura yang semakin bergerak ke hadapan.

Ilhan sudah pun mendapatkan kaps bersama pasukan utama Singapura pada beberapa aksi persahabatan sebelum ini.

Dalam pada itu, baru-baru ini Singapura telah memperkenalkan fasiliti terbaru di Pusat Bola Sepak Kallang yang akan menjadi padang latihan utama skuad kebangsan mereka.

Fasiliti itu mempunyai satu padang rumput semula jadi bersaiz penuh, dua padang rumput tiruan bersaiz penuh, satu padang bersaiz separuh dan sesuai untuk perlawanan lima atau tujuh sebelah serta empat buah padang futsal tertutup.

Usaha ini mencerminkan keazaman negara tersebut untuk terus bergerak ke hadapan dalam menjadi nama besar bola sepak di rantau Asia Tenggara.

Kehadiran pemain muda berkualiti ditambah dengan penyediaan fasiliti terbaik akan membantu dalam meningkatkan kualiti dan pencapaian negara tersebut.

Terdahulu, pasukan Singapura berhadapan dengan episod duka selepas gagal layak ke Piala Asia 2023 setelah hanya berjaya mencatat satu kemenangan dari tiga aksi kumpulan di pusingan kelayakan.

Namun, dengan kelebihan yang dimiliki ketika ini, tidak mustahil untuk pasukan The Lions bangkit pada aksi Piala AFF 2022 yang akan berlangsung pada bulan Disember ini.

Kehadiran ‘Fandi Brothers’ ini juga akan turut membantu pasukan ini memberikan saingan yang lebih sengit pada kejohanan seterusnya.

Irfan dan Ikhsan merupakan antara pemain utama skuad kebangsaan Singapura yang telah beraksi di beberapa kejohanan termasuk ketika menewaskan pasukan Malaysia di FAS Tri-Nations Series pada Mac yang lalu.

Selain itu, kedua-dua pemain ini juga berjaya mendapatkan tempat bersama pasukan kelab mereka di Thailand dan telah beraksi di saingan AFC Champions League (ACL) 2022 baru-baru ini.

Diharap agar pasukan Malaysia akan turut memperoleh seorang bintang muda berkualiti seperti mereka yang mampu memberi saingan di peringkat antarabangsa.

Bapa mereka, Fandi Ahmad merupakan seorang legenda bola sepak Singapura yang pernah beraksi bersama pasukan Groningen FC di Belanda dan pernah melatih pasukan Johor Darul Ta’zim FC.