Kurniawan Yulianto banggakan Indonesia, kembangkan bakat kejurulatihan bersama kelab Itali
Selepas hampir setahun meninggalkan Sabah FC, jurulatih Indonesia, Kurniawan Dwi Yulianto akhirnya kembali semula dalam bidang kejurulatihan.
Beliau mengumumkan dirinya menyertai kelab Serie B, Como 1907 sebagai pembantu jurulatih melalui satu hantaran Instagram.
Jurulatih berusia 46 tahun itu berkongsi beberapa gambar beliau di stadium kelab itu, Stadio Giuseppe Sinigaglia termasuk gambar bersama pengarah teknikal kelab, Dennis Wise.
Ia semestinya satu pencapaian yang membanggakan buat rakyat Indonesia melihat seorang jurulatih tempatan berjaya menempatkan diri di kelab Eropah.
Bukan mudah buat jurulatih Asia, lebih-lebih lagi Asia Tenggara untuk mengembangkan karier mereka ke kelab Eropah.
Ini boleh menjadi penanda aras buat jurulatih Asia lain dan membakar semangat untuk melatih kelab Eropah.
Namun ini bukanlah pengalaman pertamanya di Eropah dalam bidang bola sepak kerana sebagai pemain, beliau memulakan karier profesional di kelab Switzerland, FC Luzern.
Mungkin ramai juga yang tidak tahu Como 1907 adalah milik sebuah syarikat Indonesia, PT Djarum yang dimiliki oleh ahli perniagaan tempatan, Oei Wie Gwan.
Walaupun mungkin ada yang merasakan pelantikan Kurniawan adalah berdasarkan ‘kabel’, tetapi dari sudut yang positif ia menunjukkan bahawa Wie Gwan membuka peluang buat anak jati negaranya menimba ilmu dengan kelab Eropah.
Malaysia juga memiliki beberapa ahli perniagaan yang memiliki kelab di Eropah seperti Vincent Tan dan Tony Fernandes.
Diharapkan satu hari nanti mereka juga boleh membuka peluang buat anak tempatan untuk mengembangkan karier kejurulatihan di kelab milik mereka.