Kewujudan seseorang seperti Fabrizio Romano di Asia mampu hangatkan lagi bola sepak di benua ini

2,878

Siapa yang tidak kenal dengan wartawan sukan yang berasal dari Itali, Fabrizio Romano yang dianggap sebagai ‘pakar perpindahan pemain’?

TaglineHere We Go’ yang sinonim dengannya sentiasa ditunggu-tunggu oleh peminat bola sepak seluruh dunia.


Beliau boleh dikatakan sebagai peramal masa depan kerana hampir semua berita atau khabar angin mengenai perpindahan yang diumumkan olehnya sentiasa menjadi kenyataan.

Bahkan keluarga pemain sendiri tidak tahu mengenai perpindahan yang diumumkan oleh beliau, seperti yang berlaku kepada pemain Jepun, Maya Yoshida baru-baru ini.

Menurut Yoshida, isterinya langsung tidak mengetahui bahawa beliau menolak tawaran daripada kelab Turki Trazonspor untuk ke Schalke 04 seperti yang dilaporkan oleh Romano.

Dilahirkan Naples pada 21 Februari 1993, karier kewartawanannya bermula di Sky Sport Itali seawal usia 19 tahun lagi.

Semenjak itu beliau gigih membina hubungan dengan kelab, ejen dan pemain di seluruh Eropah.

Bekas pelajar Universiti Cattolica del Sacro Cuore di Milan itu itu juga pernah berkhidmat untuk The Guardian, CBS Sports dan CaughtOffside.

Kewujudan seorang wartawan seperti Romano ternyata dapat menambah lagi rencah dalam dunia bola sepak.

Debaran menanti khabar angin dan pengumuman mengenai perpindahan pemain mampu meningkatkan keterujaan bagi seorang peminat.

Dalam arena bola sepak Asia, kita masih lagi tiada seorang wartawan yang mahir dalam menyampaikan maklumat mengenai perpindahan pemain di benua ini.

Sekiranya ada pasti ia akan menghangatkan lagi arena bola sepak Asia dan mungkin mengubah lanskap perpindahan pemain di Asia.

Tidak mudah untuk menjadi seperti Romano kerana terpaksa mengorbankan banyak masa untuk menghubungi ejen, pengurus dan juga pemain dalam sehari.

Namun ini juga adalah peluang yang baik untuk memeriahkan lagi arena bola sepak Asia melalui khabar angin perpindahan pemain.

Di Malaysia terdapat juga beberapa wartawan ternama yang sering menyampaikan info mengenai perpindahan pemain dalam liga tempatan.

Siapa tahu satu hari nanti mungkin ‘Fabrizio Romano Asia’ akan datang dari Malaysia? Mungkin boleh bermula dengan liputan perpindahan pemain di rantau Asia Tenggara terlebih dahulu.