E-sukan di Malaysia belum layak digelar sebagai kerjaya masa depan

2,147

Pengulas FIFAe Malaysia, Hafiz Sudin belum melihat bidang E-sukan sebagai sebuah kerjaya yang boleh dijadikan matlamat utama terutama sekali di kalangan golongan belia.

“Ekosistem E-sukan di Malaysia masih belum mampu menampung kehadiran peminat E-sukan yang semakin meningkat.

Berapa banyak pengorbanan dan pelaburan perlu dilakukan sebelum mencapai tahap yang tertinggi dan tak semua mampu membuat demikian.”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambah Hafiz lagi, meskipun bidang ini semakin berkembang pesat di seluruh dunia namun tiada jaminan yang pasti untuk menjamin masa depan yang cerah terutamanya kepada golongan muda yang menjadikan kerjaya E-sukan sebagai sebuah cita-cita.


“Selain daripada kumpulan atlet E-sukan yang berjaya bergelar sebagai atlet profesional, suasana E-sukan di Malaysia masih berada di tahap yang membimbangkan sehingga ada sesetengah pelajar institusi pendidikan yang tersisih dari pelajaran ekoran perkara ini.  

Ada pula pelajar IPT yang lalai bermain game dan tidak dapat menghabiskan pelajaran.”

Selaku individu yang telah lama berkecimpung di dalam bidang ini, Hafiz turut mengakui bahawa bidang ini mempunyai halangan dan cabaran yang besar.

Beliau juga berpendapat bahawa jumlah individu yang berjaya di dalam sukan ini masih berada di tahap yang rendah dan tidak memuaskan.

“Industri E-sukan masih baru di negara kita, belum kukuh dan berisiko untuk berjaya. Hanya 1% daripada orang yang terlibat dalam sukan ini berjaya mendapat apa yang mereka ingini.

“Para penggemar E-sukan perlu lebih bijak dalam membahagikan masa yang sewajarnya kepada sukan tersebut. Tidak salah untuk bermain game, tetapi jangan jadikan ia sebagai sebab untuk lalai dan lari dari fokus sebenar.

“Cara susunan dan pengendalian waktu yang sistematik akan mengelakkan seseorang itu terjerumus kepada masalah lain dalam kehidupan seharian di hari mendatang.

“Lebih-lebih lagi kepada golongan pelajar yang sepatutnya memberi fokus sepenuhnya kepada pembelajaran terlebih dahulu sebelum menjadikan E-sukan sebagai fokus utama mereka.

“Letakkan matlamat yang lebih realistik dan mampu memberi kesenangan di masa hadapan sebelum mengutamakan perkara yang lebih berisiko untuk masa depan,” katanya.

Hafiz merupakan alumni dan juga pengasas kepada persatuan E-sukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).