Serangan bertali arus kunci kejayaan pasukan Selangor FC tumpaskan KL City FC
Pemain pasukan Selangor FC berjaya mempamerkan aksi bertenaga sepanjang 90 minit permainan untuk menyingkirkan pasukan Kuala Lumpur City FC dari saingan Piala FA tahun ini.
Selangor bermula garang dengan beberapa gerakan merbahaya di babak awal perlawanan namun gagal menembusi barisan pertahanan KL City.
Semangat tidak putus asa para pemain berjaya membuahkan hasil selepas pemain muda, Aliff Haiqal berjaya menjaringkan gol selepas dimasukkan pada minit ke-62.
Ketua jurulatih, Michael Feichtenbeiner berjaya mencari formula terbaik untuk melancarkan serangan merbahaya ke gawang lawan.
“Kita merupakan pasukan yang menyerang pada hari ini dan pasukan lawan hanya bertahan sepanjang perlawanan.
Mereka lebih banyak bermain hantaran jauh tapi para pemain kami berjaya mempamerkan aksi terbaik.”
katanya.
Feichtenbeiner mengakui bahawa fokus pemainnya adalah untuk sentiasa mempamerkan aksi cemerlang di atas padang.
Meskipun sering mempamerkan persembahan kurang konsisten, beliau percaya kemampuan anak buahnya untuk terus memberikan keputusan yang baik untuk penyokong.
“Sememangnya kami ingin menang pada setiap perlawanan tapi tiada pasukan yang berjaya menjanjikan kemenangan pada setiap masa.
Yang penting adalah kami ingin menang pada setiap perlawanan dan kami sangat memerlukan kemenangan pada masa sekarang untuk menggembirakan peminat.”
Pengendali dari Jerman itu dilihat melakukan beberapa perubahan taktikal minit akhir yang dilihat membantu pasukannya bertahan dengan baik untuk mengekalkan kelebihan sehingga ke wisel penamat.
“Pertukaran Syahir adalah sebahagian daripada taktikal berdasarkan corak permainan pasukan lawan yang lebih gemar bermain hantaran jauh.
Pertukaran tersebut sangat sukar untuk beliau tapi ia adalah untuk kebaikan pasukan.”
Keputusan beliau untuk memasukkan beberapa orang pemain muda di penghujung babak kedua turut memberi kelebihan kepada Selangor untuk terus mendominasi perlawanan.