Motivasi dari pemain berpengalaman bantu kembalikan semangat pasukan – Aliff Haiqal

799

Penjaring gol kemenangan, Aliff Haiqal mengakui kehadiran pemain-pemain senior di dalam pasukan berjaya mengembalikan semangat pasukan meskipun berhadapan dengan beberapa keputusan perlawanan sebelum ini.

Situasi ini juga memberi kelebihan kepada pasukan Selangor FC untuk kembali mempamerkan aksi bertenaga untuk menewaskan pasukan Kuala Lumpur City FC di pusingan kedua Piala FA.


“Bagi saya, saya rasa beruntung mempunyai pemain berpengalaman seperti Brendan dan Safuwan yang banyak membimbing pemain muda seperti Aliff dan yang lain-lain.

Mereka banyak memberikan motivasi pada setiap sesi latihan untuk tidak terus kecewa dengan kekalahan sebelum ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Lebih manis lagi, kemenangan pada perlawanan ini berpunca daripada jaringan yang berjaya dihasilkan oleh Aliff yang baru dimasukkan pada minit ke-62.

“Saya gembira kerana dapat membantu pasukan untuk menang pada malam ini untuk kembali ke landasan terbaik setelah beberapa kekalahan sebelum ini.

Kepercayaan jurulatih dan kata-kata semangat sebelum masuk ke padang menjadi motivasi untuk saya menjaringkan gol.”

Aliff merupakan antara pemain muda yang dimiliki oleh pasukan Gergasi Merah di samping kehadiran ketua pasukan B-23 negara, Mukhairi Ajmal.

Kumpulan pemain ini berjaya menjadi nadi kebangkitan pasukan ini menerusi aksi berkualiti menentang pasukan yang membariskan pemain lebih berpengalaman.

Selain Aliff, pertahanan muda Shahrul Nazeem turut berjaya mempamerkan permainan bertenaga di barisan pertahanan untuk mengekang asakan yang dilakukan oleh barisan serangan KL City sehingga ke wisel penamat.

Susulan kemenangan ini, Selangor akan bertemu pasukan Sabah FC di pusingan suku akhir yang dijadualkan berlangsung pada 23 Julai ini.