Jacob Joseph risau perlawanan menentang Australia kerana ramai pemain masih cedera

317

Ketua jurulatih skuad wanita kebangsaan, Jacob Joseph risau dengan barisan pemain terhad yang dimilikinya menjelang perlawanan terakhir Kumpulan A Piala AFF Wanita esok.

Menurut Jacob, tiga pemainnya mengalami kecederaan manakala ramai yang tidak cergas sepenuhnya berikutan tidak cukup rehat kerana jadual yang padat.


“Dalam tempoh tujuh hari ini pemain saya sudah mengharungi empat perlawanan jadi tidak mudah untuk mereka pulih sepenuhnya.

Ketika ini saya mempunyai jumlah pemain yang terhad dan saya tak pasti sama ada mereka sempat pulih atau tidak untuk perlawanan itu,”

katanya.

Susulan itu, untuk perlawanan seterusnya beliau akan menerapkan taktikal bertahan pada perlawanan menentang Australia kerana sedar akan jurang yang dimiliki kedua-dua pasukan.

Sumber foto: FAM

Beliau juga sedar untuk mendapat sekurang-kurangnya satu mata menentang pasukan itu juga adalah satu tugas yang sukar.

“Australia adalah satu pasukan yang baik, jadi saya akan bermain lebih defensif menentang mereka nanti.

Saya tahu pemain saya penat, jadi saya harap mereka dapat berikan aksi yang baik kerana ia adalah perlawanan yang terakhir.”

Mengenai perlawanan menentang Thailand semalam, Jacob berkata tahap kecergasan anak buahnya menurun pada separuh masa kedua menyebabkan Thailand berjaya menjaringkan tiga gol.

Jelasnya, percubaan beliau untuk menukar beberapa pemain di bahagian tengah juga tidak menjadi dan Thailand berjaya memanfaatkan kelemahan anak buahnya.

Pada perlawanan itu, Malaysia tewas 4-0 hasil jaringan Ploychompoo Somnuek pada minit ke-24, Pattaranan Aupachai (minit ke-54), U-Raiporn Yongkul (minit ke-73) dan Nutwadee Pram-Nak (minit ke-86).

Esok Harimau Tigress akan bertemu Australia pada pukul 7.00 petang Selasa di Stadium City of Imus Grandstand, Manila.