Shin Tae-yong kongsi ‘bukti’ Thailand dan Vietnam seperti berpakat singkirkan Indonesia

6,871

Seluruh penyokong Indonesia berasa kesal dan kecewa apabila pasukan bola sepak kebangsaan B-19 mereka tersingkir dalam peringkat kumpulan saingan Piala AFF B-19.

Persaingan dalam Kumpulan A sangat sengit apabila tiga pasukan iaitu Thailand, Vietnam dan Indonesia masing-masing mengumpul jumlah mata yang sama iaitu 11 mata selepas lima perlawanan.


Bagaimanapun Indonesia tidak bernasib baik apabila mereka tersingkir apabila peraturan ‘head to head’ digunakan untuk menentukan dua pasukan yang akan layak ke peringkat separuh akhir walaupun skuad Garuda mempunyai perbezaan gol yang besar.

Timbul spekulasi yang mendakwa kedua-dua pasukan Thailand dan Vietnam berpakat untuk menyingkirkan pasukan tuan rumah apabila tidak bermain secara Fairplay.

Perkara itu turut mendapat perhatian ketua jurulatih Shin Tae-yong yang mempersoalkan tindakan kedua-dua pasukan itu pada 15 minit terakhir perlawanan yang mana kedua-dua pasukan dilihat bermain sambil lewa dan tidak melakukan serangan selepas kedudukan 1-1.

Malah Tae-yong turut berkongsi satu video di laman sosial Instagram miliknya yang dengan jelas memperlihatkan kedua-dua pemain dari pasukan itu beraksi ‘longlai’ selain membuang masa di atas padang.

Beliau turut memuat naik satu entri di IG Story dengan berkata; “Thailand dan Vietnam menurut saya takut dengan Indonesia.”

Sumber foto: Shin Tae-yong IG

Perkara itu turut mendapat perhatian Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) yang mana mereka akur dengan peraturan yang telah ditetapkan, tetapi mereka merasakan perlawanan itu tidak berlangsung dalam keadaan Fairplay, oleh itu mereka telah menghantar surat kepada pihak penganjur AFF untuk membuat siasatan menerusi Jawatankuasa Disiplin AFF samada terdapat unsur pengaturan perlawanan atau tidak.

Apa yang membuatkan spekulasi ini seakan-akan benar adalah apabila salah seorang jurulatih Vietnam iaitu Cao Cuong telah memuat naik foto pasukannya bersama Thailand dengan kapsyen; “75 minit bermusuh, 15 min kawan baik” membuatkan penyokong Indonesia percaya kedua-dua pasukan itu mengatur perlawanan.

Kekecewaan penyokong menyebabkan ada di kalangan mereka yang mendesak PSSI supaya keluar dari saingan AFF pada masa hadapan.

Disebalik persoalan yang timbul, Indonesia perlu menerima hakikat bahawa mereka telah tersingkir dan jika mereka berjaya menang kesemua perlawanan situasi ini tidak akan berlaku.

Ia juga telah membuktikan bahawa dalam dunia bola sepak ini apa sahaja boleh berlaku dan perkara ini sering berlaku.

Pihak penganjur bola sepak juga mungkin boleh membuat perubahan peraturan sedikit dengan membuang perkiraan ‘head to head’ sekiranya insiden sama berlaku lagi, sebaliknya mengambil kira perbezaan gol untuk menentukan siapa yang akan layak.

PSSI juga tidak boleh mengambil tindakan terburu-buru dengan keluar dari saingan AFF selepas ini kerana setiap pasukan di rantau Asia Tenggara ini memerlukan sokongan antara satu sama lain.

Benar atau tidak berlaku, pengaturan perlawanan tidak sepatutnya berlaku dalam sukan bola sepak atau mana-mana jenis sukan sekali pun kerana ia akan menjahanamkan sukan itu sendiri dan akhirnya tiada siapa lagi berminat atau mahu terlibat.