Malaysia gagal di Piala AFF kerana ‘tua & lembap’

125

Berakhirnya sudah saingan Piala AFF 2020 buat pasukan Malaysia di Singapura apabila kita diaibkan Indonesia dengan jaringan 1-4 pada perlawanan terakhir kumpulan B baru-baru ini.

Kekalahan memalukan skuad kendalian Tan Cheng Hoe ini sememangnya sudah diramal berikutan pelbagai kontroversi membabitkan pemilihan pemain, jumlah pemain yang dibawa dan beberapa lagi melanda kem skuad Harimau Malaya sebelum terbang ke Singapura lagi.


Ternyata percaturan Cheng Hoe membawa pemain yang ‘kononnya’ berpengalaman memakan diri apabila kita tumpas kepada skuad kendalian Shin Tae-yong yang rata-rata dibarisi pemain-pemain muda.

Jika dibuat perbandingan, skuad kebangsaan hanya membawa 10 sahaja pemain berusia bawah 25 tahun dan selebihnya berusia 25 tahun ke atas dan paling berusia di atas padang adalah pemain naturalisasi negara Guilherme de Paula berusia 35 tahun.

Manakala skuad Garuda pula lebih separuh pemain daripada keseluruhan skuad adalah pemain berusia bawah 25 tahun. Tidak dapat dinafikan Tae-yong juga membawa pemain berusia tetapi mereka hanya memanaskan bangku simpanan sahaja kerana jurulatih percaya dengan kemampuan pemain muda mereka. Kepercayaan jurulatih dibalas apabila pemain-pemain Indonesia mempamerkan corak permainan yang cukup menarik yang membawa mereka ke peringkat separuh akhir yang mana mereka akan bertemu dengan gergasi Thailand.

Bukan sahaja Indonesia, pasukan Vietnam yang kini merupakan salah sebuah pasukan gergasi di Asia Tenggara turut mengutamakan kepada bakat-bakat muda daripada pemain yang sudah berusia. Ini kerana jurulatihnya iaitu Park Hang-seo gemar menggunakan pemain muda yang mana sesuai dengan corak permainan berintensiti tinggi yang diterapkannya.

Walaupun rata-rata pemain pasukan yang diberi jolokan Naga Emas berusia 20 tahun ke atas, namun mereka ini sudah dibentuk sejak berusia belasan tahun lagi dan bertahun bermain bersama, jadi mereka mempunyai keserasian yang cukup menakjubkan.

Jadi tidak hairan Vietnam merupakan pasukan pilihan untuk mempertahankan kejuaraan Piala AFF 2020 apabila mereka dengan mudah melayakkan diri ke peringkat separuh akhir yang mana anak buah Hang-seo akan bertemu dengan pasukan tuan rumah Singapura yang mana mereka dijangka mampu mara ke final.

Dua lagi pasukan yang layak ke peringkat separuh akhir adalah Thailand dan Singapura pula mempertaruhkan percaturan berbeza dari Indonesia dan Vietnam apabila kedua-dua pasukan ini rata-rata dibarisi pemain yang sedikit berusia namun mempunyai pengalaman.

Skuad kendalian Tatsuma Yoshida membariskan skuad terkuat mereka ketika ini dengan tiga pemain pertahanan mereka sangat dikenali oleh peminat di Malaysia berikutan mereka bermain di Liga Malaysia iaitu Shakir Hamzah, Safuwan Baharudin dan Anumanthan Kumar. Kualiti ketiga-tiga pemain ini tidak dapat dinafikan lagi.

Singapura turut membaris dua penyerang muda iaitu Ikhsan Fandi dan Ilhan Fandi yang mana kedua-dua ini merupakan anak kepada lagenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad. Untuk perlawanan separuh akhir, skuad Singapura akan bertemu dengan pasukan muda Indonesia.

Walaupun bakal berdepan dengan permainan berintensiti tinggi daripada Indonesia, namun Singapura dijangka mampu mengimbangi corak permainan pihak lawan menerusi pengalaman dan berkemungkinan akan menukar tempo permainan bagi menyukarkan pemain lawan.

Thailand sebuah lagi pasukan yang membawa pasukan daripada kalangan pemain yang berusia tetapi cukup berpengalaman. Skuad kendalian Alexandre Polking ini tidak perlu buktikan mereka adalah pasukan gergasi yang patut digeruni pihak lawan.

Sepanjang kempen Piala AFF kali ini, skuad Gajah Putih mencatat rekod bersih dengan empat kemenangan dengan menjaringkan 10 gol. Walaupun ada agak skeptikal dengan Thailand pada kali ini, namun mereka buktikan pengalaman dan kualiti yang ada pada setiap pemain mampu membuatkan mana-mana pasukan yang menentang mereka akan berasa gerun.

Pemain yang mendapat perhatian sudah semestinya penyerang sensasi Teerasil Dangda yang membuktikan usia bukanlah penghalang buatnya untuk menjaringkan empat gol dan menjadi penjaring terbanyak. Ditambah dengan barisan pemain-pemain yang kini berada puncak prestasi, Thailand pasti akan memberikan tentangan hebat buat pemain muda Vietnam.

Banyak sebenarnya yang boleh dipelajari oleh FAM dalam membentuk skuad ampuh, tetapi ia perlu dilakukan secara telus dan tiada ‘tangan ghaib’ yang mencampuri urusan pemilihan pemain selain berani mempertaruhkan barisan pemain muda.

Dato’ K. Rajagopal pernah membuktikan bahawa Malaysia mempunyai ramai pemain berkualiti dengan berjaya menjuarai Sukan Sea 2009 dan Piala AFF 2010, jadi mengapa FAM tidak meneruskan formula yang sudah terbukti berkesan dari bereksperimentasi dengan sesuatu yang belum pasti. Diharap dengan penyingkiran Malaysia di Piala AFF akan membuka mata pihak FAM dan segera memperbaiki kekurangan untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi kejohanan seterusnya.