Latihan disediakan BAM sudah cukup baik, cuma kekuatan mental harus diperbaiki – Rashid Sidek

431

Legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek percaya segala latihan yang disusun oleh barisan kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) adalah cukup baik buat pemain perseorangan negara untuk mencapai kejayaan.

Rashid berkata, apa yang menjadi halangan buat pemain negara untuk melangkah lebih jauh adalah dari segi kekuatan mental yang masih lagi tidak cukup tinggi.


“Rata-rata pemain perseorangan yang kita ada masih muda jadi boleh lihat mereka kekurangan dari segi kekuatan mental dan juga pengalaman.

Mereka juga hanya berlatih sesama mereka tanpa rakan sepelatih yang lebih berpengalaman jadi dari segi peningkatan permainan agak kurang,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut bekas pemain nombor satu dunia itu lagi, jika ada rakan sepelatih yang lebih berpengalaman, mereka boleh mendapatkan banyak pengalaman dan ilmu berguna untuk meningkatkan lagi tahap permainan.

Mengulas mengenai kritikan yang diberikan oleh sesetengah penyokong terhadap pemain perseorangan nombor satu negara, Lee Zii Jia kerana membuat keputusan untuk tidak menyertai Sukan Komanwel, beliau berkata pemain itu mempunyai hak kerana beliau sudah menjadi pemain profesional.

Tambahnya, apa yang penting adalah Zii Jia sendiri tahu apa yang beliau mahukan dan penyokong harus menghormati keputusannya kerana beliau tetap membawa nama Malaysia.

Beliau turut berkata bahawa Zii Jia harus fokus terhadap latihan supaya dapat meningkatkan lagi kekuatan fizikal dan mental bagi bersaing dengan pemain-pemain di ranking sepuluh terbaik.

“Latihan itu adalah penting sebagai bekalan untuk bertanding dalam kejohanan lebih besar jadi beliau harus terus fokus dari segi mental dan fizikal untuk melawan pemain di ranking 10 teratas.”

Rashid berkata itu adalah cara untuk terus bersaing dengan pemain di ranking yang tinggi memandangkan mereka juga sentiasa meningkatkan tahap permainan mereka.

Tegasnya lagi, Zii Jia juga harus meningkatkan lagi kemahiran individu dan memperbaiki segala kelemahan supaya permainannya secara keseluruhan menjadi lebih mantap.