Mengapa tiada pihak siarkan ‘live’ skuad kebangsaan wanita dan B-19 negara seperti Manchester United-Liverpool?

1,915

Semalam berlangsungnya perlawanan persahabatan antara dua gergasi Liga Perdana Inggeris iaitu Liverpool dan Manchester United di Stadium Rajamangala, Thailand.

Bagi peminat kedua-dua pasukan itu yang berada di Malaysia dan tidak berpeluang ke sana, mereka bertuah kerana salah satu syarikat televisyen tempatan menyiarkan perlawanan itu secara langsung.


Namun perkara itu mungkin sedikit janggal kerana tiada langsung pihak yang mengambil inisiatif untuk menyiarkan Piala AFF Wanita melibatkan skuad kebangsaan baru-baru ini.

Selain itu, perlawanan melibatkan skuad B-19 negara yang ketika ini sedang berjuang di Indonesia dalam Piala AFF B-19 juga tidak disiarkan oleh mana-mana pihak.

Ramai juga sebenarnya peminat bola sepak tempatan yang mahu menyaksikan kedua-dua skuad negara itu bermain dan terpaksa menonton di platform penstriman ‘haram’ atas talian.

Mungkin terdapat alasan kos yang tinggi menyebabkan tiada pihak yang berminat bagi mendapatkan hak penyiaran kedua-dua kejohanan tersebut.

Tetapi kos penyiaran bagi perlawananan melibatkan United dan Liverpool sudah tentu juga tinggi dan tidak mustahil lebih mahal kerana melibatkan dua kelab yang mempunyai reputasi yang tinggi.

Ia adalah sesuatu yang mengecewakan kerana bola sepak negara masih lagi ‘dianaktiritkan’ manakala perlawanan melibatkan kelab luar diangkat walaupun hanya berstatus persahabatan.

Lebih-lebih lagi dengan arena bola sepak wanita tempatan yang masih lagi suram dan memerlukan sokongan pelbagai pihak.

Bagaimana penyokong mahu memberi sokongan kepada skuad negara sekiranya mereka mempunyai kesukaran untuk menyaksikan pasukan negara beraksi.