Nasib Jacob Joseph akan diketahui selepas pulang dari Filipina

960

Pasukan kebangsaan wanita telah menamatkan saingan Piala AFF Wanita 2022 baru-baru ini dengan gagal melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.

Malayan Tigress menamatkan kempen di tangga kelima dalam Kumpulan A selepas seri dua kali dan kalah tiga kali.


Susulan prestasi yang tidak memberangsangkan di Filipina, ramai yang mendesak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk melakukan perubahan termasuk menukar ketua jurulatih sedia ada iaitu Jacob Joseph.

Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar berkata, pihak FAM tidak akan mengambil tindakan terburu-buru, sebaliknya hanya akan mengambil tindakan selepas mereka pulang ke tanah air.

“Kita tunggu pasukan wanita negara pulang ke Malaysia dan meneliti laporan daripada barisan kejurulatihan terlebih dahulu,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Terdahulu skuad Malayan Tigress dikritik kerana gagal meraih kemenangan ketika bertemu dengan Singapura dan Indonesia yang mana kedua-dua pasukan itu berada di ranking bawah dari skuad negara.

Malah, ramai juga yang mempertikaikan keputusan ketua jurulatih itu terutamanya mengenai kesebelasan utama yang menjadi persoalan peminat.

Antaranya adalah tidak menurunkan bakat muda Berlin Leong yang beraksi di Eropah apabila beliau sering diletakkan di bangku simpanan sahaja.

Pada masa sama, pengendali berusia 64 tahun itu juga dilihat lebih cenderung menggunakan pemain yang berusia jika hendak dibandingkan dengan pasukan lain yang menggunakan pemain jauh lebih muda, di samping taktikal ‘park the bus’ di hampir semua perlawanan.