Ultras PSPS Riau ugut mahu ‘tutup’ perniagaan Zamsaham di Indonesia sekiranya tuntutan tidak dipenuhi

42,158

Pembatalan perlawanan persahabatan antarabangsa antara dua kelab milik ahli perniagaan, Norizam Tukiman atau Zamsaham iaitu Kelantan FC dan PSPS Riau nampaknya masih belum reda lagi.

Perlawanan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Utama Riau pada 12 Julai itu terpaksa dibatalkan selepas polis tempatan meminta ‘wang keamanan’ sebanyak 40 juta Rupiah (RM11,821) satu jam sebelum perlawanan.


Isu itu nampaknya menjadi semakin hangat selepas terdapat laporan yang mengatakan bahawa perniagaan Zamsaham di Riau telah diserang oleh beberapa penyokong yang tidak berpuas hati.

Ultras PSPS Riau, Curva Nord 1955 juga telah mengeluarkan satu kenyataan untuk meminta Zamsaham bertanggungjawab terhadap insiden itu.

Mereka tidak berpuas hati kerana mendakwa Zamsaham ‘melarikan diri’ ketika insiden itu berlaku dan mengemukakan beberapa tuntutan yang wajib dipenuhi oleh beliau dalam tempoh 72 jam.

Antara tuntutan yang dibuat adalah beliau harus meminta maaf di depan penyokong PSPS Riau dan juga masyarakat Riau selain menyelesaikan isu bayaran balik tiket kepada penonton yang telah mendapatkan tiket untuk perlawanan itu.

Selain itu, mereka juga meminta Zamsaham supaya menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain PSPS Riau dan menjelaskan mengenai pembatalan itu kepada barisan pemain dan kejurulatihan.

Tegas mereka, sekiranya tuntutan ini tidak ditunaikan dalam masa tersebut, mereka mengugut untuk memboikot dan menutup semua perniagaan Zamsaham di kota itu.

Namun ramai juga penyokong PSPS yang tidak bersetuju dengan tindakan ultras tersebut dan bersetuju dengan tindakan Zamsaham untuk tidak membayar wang tersebut kepada pihak polis.

Jika diikutkan, memang tidak logik untuk meminta wang sebanyak itu dalam tempoh yang singkat sebelum perlawanan berlangsung kerana ia tidak diberitahu sejak dari awal lagi.

Mengenai isu tunggakan gaji pemain PSPS Riau, ia mungkin ada kaitan dengan pemecatan pengurus pasukannya, Edward Riansyah atau lebih dikenali sebagai Edu.

Edu dipecat oleh kelab selepas didakwa terdapat penyelewengan dana kelab untuk kegunaan peribadi.

Menurut Zamsaham, beliau masih tidak dapat melengkapkan bayaran balik tiket perlawanan tersebut kerana penyelewengan yang dilakukan itu.

Diharapkan perkara ini akan dapat diselesaikan dengan baik oleh pihak yang terlibat termasuk polis Riau, pengurusan kedua-dua pasukan serta para penyokong.

Sayang sekiranya usaha dan wang yang telah dilaburkan oleh Zamsaham terhadap kelab itu sejak mengambil alih pada Mei tahun lalu hancur begitu saja akibat insiden ini.