Sesebuah pasukan perlu menyediakan pasukan media yang baik sebagai motivasi tambahan kepada para pemain – Jurugambar rasmi KL City FC, Syafiq John

247

Jurugambar rasmi Kuala Lumpur City FC, Muhamad Syafiq atau lebih dikenali sebagai John berpendapat bahawa pasukan media memainkan peranan yang cukup penting kepada sesebuah pasukan bola sepak.

“Setiap pasukan perlu menghantar pasukan media yang baik ke sesebuah kejohanan bagi memberikan semangat kepada para pemain.

Sebagai contoh, pemain akan menyimpan gambar sebagai kenangan, lebih-lebih lagi dalam peringkat negara.

Perkara ini perlu dititikberatkan oleh kesemua pasukan di Malaysia termasuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di kejohanan yang akan datang,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Sebelum ini, ada beberapa pihak yang mempersoalkan tentang kualiti gambar Malayan Tigress yang beraksi di Piala AFF Wanita 2022 yang kabur dan tidak berkualiti.


Hal ini perlu diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak bertanggungjawab bagi mengelak dari mengulang kesilapan yang sama di masa hadapan.

Dalam pada itu, John semakin menempa nama di dalam bidang ini tatkala beliau telah berkhidmat dengan pasukan KL City selama tiga tahun.

Lebih manis, hasil karya beliau yang memaparkan kegembiraan pemain tengah KL City, Romel Morales pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2021 telah dinobatkan sebagai ‘Photo of The Year’ oleh The Biddy’s.

Terbaru, John turut terlibat sebagai jurugambar pasukan The City Boys pada saingan Kumpulan H Piala AFC baru-baru ini yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Penglibatan beliau pada kejohanan tersebut merupakan antara pencapaian terhebat untuk seseorang pegawai media di Malaysia.  

“Piala AFC mungkin tidak segah kejohanan besar di Eropah namun ia tetap pencapaian yang cukup membanggakan.”

Pada masa yang sama, jurugambar dan pegawai media tidak terlepas daripada berhadapan dengan pelbagai cabaran semasa menjalankan tugas dalam mendapatkan karya yang terbaik.

Lebih-lebih lagi, apabila kejohanan tersebut melibatkan pasukan dari luar negara.

“Ada media daripada luar yang kurang fasih berbahasa Inggeris dan ini menyukarkan proses komunikasi.

Kekangan dari segi prasyarat ketat yang ditetapkan oleh AFC sendiri turut memberi kesan.”

Terdahulu, beliau yang merupakan seorang graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah dijemput untuk berkongsi pengalaman sebagai seorang jurugambar dalam bidang bola sepak bersama penuntut di insititusi tersebut.