Masih banyak yang perlu diperbaiki oleh Malayan Tigress, jadikan kegagalan di Piala AFF sebagai pengajaran

177

Pasukan bola sepak wanita negara telah tiba dari Manila selepas mengakhiri saingan di Piala AFF Wanita 2022 di tangga kelima Kumpulan A.

Ketua pasukan skuad negara, Steffi Sidhu menganggap peluang beraksi di saingan Piala AFF kali ini adalah medan pendedahan terbaik kepada kesemua pemain.


“Pengalaman dan pendedahan yang sangat baik kerana kita bermain dengan tiga pasukan yang layak ke Piala Dunia.

Bermain menentang negara jiran Indonesia dan Singapura juga baik kerana mereka dilihat lebih bersedia dan bertambah baik.”

kata Steffi kepada Harimau Malaya.

Tambahan pula, ada beberapa pasukan seperti Australia dan Filipina yang telah menempah slot ke Piala Dunia membariskan pemain pelapis untuk menyahut cabaran di kejohanan ini.

Perkara yang sama turut berlaku di kem kebangsaan tatkala ketua jurulatih, Jacob Joseph membawa sebilangan besar pemain muda yang dipilih sebagai antara taruhan utama pada aksi kali ini.

“Pasukan kali ini mempunyai ramai pemain muda, hanya sebilangan kecil pemain senior dibawa untuk membimbing pemain-pemain ini.

Sama seperti skuad negara lain yang dibarisi ramai pemain B-23 tetapi masih ada empat hingga lima orang pemain senior yang turut dipilih.”

Pasukan negara selepas ini perlu terus mencari inisiatif untuk melahirkan lebih ramai pemain muda yang mampu menggalas cabaran negara di kejohanan-kejohanan besar selepas ini.

Pada masa yang sama, antara aspek yang perlu diperbaiki adalah ketajaman di bahagian serangan.

Kehadiran Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Super Wanita Persatuan Bola Sepak Selangor (FASWSL), Henrietta Justine dilihat belum mampu membantu menjelmakan jaringan untuk pasukan kebangsaan.

Henrietta yang baru berusia 19 tahun perlu memanfaatkan peluang beraksi bersama pasukan-pasukan besar sebagai pengalaman untuk beliau terus meningkatkan kualiti permainannya.  

“Saya tidak berpuas hati dengan cara permainan saya dan akan terus berusaha untuk perbaiki persembahan.

Saya memperoleh pengalaman yang banyak melihat cara bertahan dan menyerang yang digunakan oleh pasukan yang lebih hebat,”

kata Henrietta.

Kelincahan penyerang berasal dari Sabah ini akan terus ditagih untuk membantu memperkuatkan pasukan di kejohanan akan datang.

Malayan Tigress perlu segera bangkit daripada kekecewaan ini dan mencari solusi terbaik yang mampu menjadikan mereka antara pasukan yang digeruni sekurang-kurangnya di peringkat rantau Asia Tenggara.

“Saya melihat pemain pasukan lain mempunyai lebih banyak kelebihan dari pasukan kami seperti stamina dan sebagainya, tetapi kami telah lakukan sehabis baik pada pertandingan ini.

Semangat berpasukan serta ketenangan di dalam padang menjadi antara perkara yang saya rasa penting untuk masa depan.” katanya.

Pasukan negara hanya berjaya mencatatkan keputusan dua seri dan tiga kekalahan daripada lima perlawanan peringkat kumpulan.