FAM harus usaha tingkatkan lagi kesedaran tentang bola sepak wanita – Jamiatul Akmal
Walaupun semakin ramai pihak yang mula membuka mata terhadap pasukan bola sepak wanita negara, mereka dilihat masih kurang mendapat liputan berbanding bola sepak lelaki.
Dari segi sokongan yang diberikan oleh masyarakat, ia boleh diibaratkan seperti langit dengan bumi.
Ini berbeza dengan apa yang berlaku di Filipina apabila ramai penyokong mereka termasuk Ultras Filipina dilihat turun ke stadium bagi memberi sokongan terhadap pasukan wanita yang bertanding di Piala AFF Wanita yang kini sedang berlangsung.
Bagi pengasas Women’s Social Futsal / Football Malaysia, Jamiatul Akmal Abdul Jabar, perkara ini harus dilihat daripada sudut kesedaran orang ramai terhadap kewujudan arena bola sepak wanita di negara ini.
Menurutnya, pihak berwajib seperti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) harus lebih agresif dalam mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.
“Di peringkat akar umbi, saya lihat arena bola sepak wanita tempatan memang semakin rancak dan liga biasa pun sudah ada siaran langsung di platform media sosial.
Tetapi apa cara FAM untuk kembangkan lagi bola sepak wanita untuk memberi kesedaran kepada orang ramai? Kerana usaha itu adalah penting untuk lihat bola sepak wanita pergi lebih jauh,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tambahnya lagi, FAM boleh mengambil inisiatif untuk turun padang dan menjalankan kerjasama dengan pihak-pihak yang aktif dalam memartabatkan bola sepak wanita di negara ini.
Beliau mengakui masih terdapat layanan double standard terhadap bola sepak wanita berbanding bola sepak lelaki walaupun kesedaran itu sudah ada.
“Kesedaran dah ada tetapi pelaksanaan untuk kurangkan diskriminasi dan double standard tu masih kurang.
Contohnya mengenai siaran langsung perlawanan Piala AFF wanita melibatkan pasukan negara, kenapa ada negara lain yang mampu sediakan tetapi tidak kita?”
soalnya.
Dalam pada itu, Jamiatul berkata cadangan untuk mewujudkan ultras khas untuk pasukan wanita adalah tidak perlu dan sokongan harus diberikan kepada mana-mana pasukan yang mewakili Malaysia.
Jelasnya, apa yang penting adalah pendedahan bagi bola sepak wanita dan usaha untuk melihat ia pergi jauh oleh pihak berwajib harus ditingkatkan.