SNBJ terus jadi lokasi pilihan anjurkan konsert…jangan bagi alasan lagi, PSM!
Selepas pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengumumkan baginda akan menaja kos penukaran rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) Mac lalu, ramai yang masih ternanti-nanti sehingga kini bilakah proses itu akan dimulakan
Beberapa hari lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Mohd Faidz Sanusi akhirnya mengesahkan proses tersebut akan dilakukan pada Mac tahun depan.
Tetapi, secara tiba-tiba di hari semalam, kumpulan K-Pop tersohor, Blackpink pula dilaporkan akan mengadakan konsert di stadium itu pada 4 Mac 2022.
Sebarang aktiviti yang boleh merosakkan lagi permukaan padang sepatutnya dihentikan pada waktu itu memandangkan proses penukaran rumput akan dilakukan.
Sebelum Blackpink, terdapat dua lagi nama besar yang akan membuat konsert di stadium tersebut iaitu Billie Eilish pada 18 Ogos 2022 dan Jay Chou pada 15 Januari 2023.
Demi pendapatan, tidak mustahil sekiranya terdapat mana-mana artis antarabangsa yang bercadang untuk melakukan konsert di stadium itu selepas Blackpink turut akan mendapat kebenaran.
PSM sepatutnya sudah memutuskan satu tarikh tepat bila mereka akan memulakan proses penukaran rumput di SNBJ, bukan hanya setakat memberi jangkaan waktu secara umum.
Ada yang juga berkata sebenarnya PSM awal-awal sudah mengetahui berlakunya konsert Blackpink ini sebelum pengumuman tersebut dibuat.
Soalan yang timbul sekarang adalah: mungkinkah akan berlaku penangguhan penukaran rumput di SNBJ disebabkan konsert Blackpink itu?
Jika ia terus berlaku, berapa lama lagi kita akan dapat melihat rumput baru diguna pakai di SNBJ?
Selain itu, bukannya kita tidak mempunyai stadium lain untuk dijadikan venue bagi konsert-konsert tersebut kerana Axiata Arena yang berada berdekatan SNBJ juga beberapa kali pernah menganjurkan konsert artis antarabangsa walaupun kapasitinya tidak sebesar SNBJ.
Malah pada 2019, Blackpink pernah membuat persembahan di Stadium Malawati, jadi tiada masalah sebenarnya untuk menganjurkan konsert di lokasi lain.
Jika SNBJ sering digunakan sebagai venue konsert, kerosakan padang akan menjadi masalah yang tidak akan pernah selesai.
Dalam pada itu, agak hampa juga kerana sehingga kini skuad bola sepak kebangsaan masih tidak mempunyai ‘rumah’ iaitu stadium bola sepak sendiri seperti JDT.
Jika kos menjadi masalah, pihak berkenaan mungkin boleh mengubahsuai stadium sedia ada untuk dijadikan stadium bola sepak seperti yang berlaku ketika perlawanan persahabatan antara Manchester United dan Liverpool di Stadium Rajamangala sebelum ini.
Pengurusan stadium tersebut menutup trek larian dan menjadikan ia sebagai tempat duduk penonton pada perlawanan itu.
Diharapkan satu hari nanti Malaysia mempunyai satu stadium bola sepak khusus yang menjadi ‘rumah’ buat Harimau Malaya.