Christophe Gamel nafi letak jawatan sebagai pengurus Sri Pahang FC

3,561

Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Christophe Gamel dilaporkan akan meninggalkan kelab selepas beliau dan pihak pengurusan mencapai kata putus mengenai kedudukannya.

Perkara itu bukanlah satu kejutan dan sememangnya telah dijangka kerana Sri Pahang kini menghuni tangga kedua terakhir liga dan gagal mencatatkan sebarang kemenangan dalam empat perlawanan terakhir.


Namun Gamel menafikan beliau telah meletak jawatan dan berkata bahawa itu semua adalah khabar angin palsu.

Bercakap kepada Harimau Malaya, Gamel berkata beliau sebaliknya mencapai persetujuan bersama (mutual agreement) dengan pihak pengurusan mengenai kedudukan beliau di kelab itu.

“Saya tidak tinggalkan Sri Pahang, kami lakukan satu mutual agreement.

Mereka mahu tukar saya. Jika ia adalah yang terbaik untuk pasukan, jadi bagi saya penting untuk kami capai persetujuan.”

katanya kepada Harimau Malaya

Menurut Gamel, beliau berharap dapat menunjukkan kemampuannya di kelab lain selepas ini.

Dalam pada itu, terdapat khabar angin sedang bertiup kencang bahawa bekas lagenda dan jurulatih dari Singapura, Fandi Ahmad akan mengisi jawatan tersebut.

Bekas pemain Pahang itu bukanlah nama baru dalam bola sepak Pahang kerana beliau pernah menyarung jersi Tok Gajah dari 1991 hingga 1992 dan pernah merangkul kejuaraan liga dan Piala Malaysia.

Fandi juga sudah tidak asing dengan suasana bola sepak Malaysia sebagai seorang jurulatih kerana pernah mengendalikan JDT pada musim 2012 dan 2013 seterusnya menjadi ketua jurulatih Lions XII pada dua musim berikutnya.

Tetapi sebelum beliau tiba, Sri Pahang dilaporkan akan menyerahkan tanggungjawab untuk mengendalikan pasukan kepada pengurus, Dollah Salleh secara interim.

Ia ibarat ‘dejavu’ buat penyokong Sri Pahang yang mana ia pernah berlaku pada musim lalu apabila ketua jurulatih dari Amerika Syarikat, Thomas Dooley ‘direhatkan’ selepas hanya dua perlawanan.

Dollah yang ketika itu juga merupakan pengurus pasukan mengambil alih sehingga akhir musim.

Persoalannya, adakah skrip yang sama akan berulang lagi musim depan sekiranya Fandi gagal membawa impak ke dalam pasukan?

Bukankah lebih baik sekiranya Dollah dikekalkan saja sebagai ketua jurulatih daripada terus menukar ketua jurulatih setiap musim.

Inilah masanya untuk kelab menunjukkan kepercayaan kepada jurulatih tempatan berbanding jurulatih luar yang tidak terbukti berkesan.

Musim lalu, Dollah berjaya menyelamatkan Sri Pahang dari tersingkir walaupun mengambil alih ketika pasukan masih berada dalam keadaan goyah.

Lagipun beliau adalah seorang sosok yang dihormati oleh para pemain serta staf kejurulatihan Sri Pahang serta mempunyai pengaruh kuat dalam kelab itu.

Dollah juga pernah membawa pulang Piala Malaysia pada 2013 dan Piala FA pada 2018 ketika menjadi ketua jurulatih kelab.

Jika dibandingkan dengan Dollah, pencapaian Fandi juga tidaklah terlalu hebat dan mungkin boleh dikatakan ‘biasa-biasa sahaja’.

Ketika bersama JDT pun, kedudukan terbaik yang pernah dicatatkan olehnya adalah di tangga ketiga.

Sampai bila agaknya situasi ini akan terus berulang di Sri Pahang?