Aaron Chia positif Covid-19, persiapan beregu utama negara hadapi Sukan Komanwel terjejas
Sukan Komanwel 2022 akan membuka tirai pada 28 Julai ini dengan harapan diletakkan kepada skuad badminton negara untuk membawa pulang dua emas dari bumi Birmingham, England.
Pemain beregu utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik adalah antara pemain badminton yang menjadi sandaran emas buat negara.
Namun, Aaron memberi perkhabaran buruk di Instagram apabila memaklumkan bahawa beliau baru saja disahkan positif Covid-19.
Ia tepat dua minggu sebelum acara badminton di kejohanan itu bermula pada 29 Julai ini.
Perkara itu sudah tentu memberi kesan terhadap persiapan pasangan itu kerana Aaron terpaksa menjalani kuarantin kendiri dan mereka sudah pasti tidak boleh berlatih bersama untuk beberapa hari.
Sudahlah persembahan mereka di beberapa kejohanan sebelum ini kurang memuaskan, jadi mungkin ini akan terus memberi kesan terhadap persembahan mereka di kejohanan tersebut.
Selain itu, terdapat juga pihak yang mahu mereka dipisahkan dan digandingkan dengan pemain lain kerana kedua-duanya kelihatan mempunyai masalah.
Jurulatih beregu negara, Rexy Mainaky sebelum ini juga pernah berkata bahawa beliau mahukan pasangan itu menunjukkan usaha dan kesungguhan mereka.
Tekanan juga pastinya datang daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) supaya kedua-dua pemain itu meningkatkan prestasi mereka.
Dalam pada itu, perseorangan utama negara, Lee Zii Jia juga sebelum ini mengumumkan beliau tidak akan menyertai Sukan Komanwel bagi memberi tumpuan penuh terhadap Kejohanan Dunia pada Ogos.
Dengan ketiadaan Zii Jia dan kini Aaron pula diserang Covid-19, ia pasti akan menyukarkan lagi prospek negara untuk meraih dua emas melalui badminton di Sukan Komanwel.
Aaron juga sebelum ini mengakui perjalanan mereka di Sukan Komanwel nanti tidak mudah kerana akan berdepan beregu-beregu hebat dari England, India dan juga Singapura.
Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas dalam acara beregu lelaki di kejohanan tersebut adalah dua edisi lalu melalui pasangan Goh V Shem-Tan Wee Kiong.
Mampukah Aaron dan Wooi Yik membawa pulang kembali emas pada edisi kali ini?