Kejayaan rangkul Piala AFF B-19 adalah ‘pemanas badan’ untuk melangkah lebih jauh dalam kelayakan Piala AFC B-20 – Hassan Sazali

2,268

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan B-19, Hassan Sazali menganggap kejayaan merangkul kejuaraan Piala AFF B-19 adalah satu kejohanan ‘pemanas badan’ buat pemainnya untuk melangkah dengan lebih jauh dalam kelayakan Piala AFC B-20 nanti.

Pada perlawanan akhir Piala AFF B-19 malam tadi, skuad Harimau Muda berjaya membalas dendam atas kekalahan pada perlawanan terakhir kumpulan apabila menumbangkan Laos 2-0 sekaligus mengulangi pencapaian pada tahun 2018.


“Alhamdulillah kejayaan ini adalah untuk semua. Prestasi cemerlang yang dipamerkan adalah hasil kerjasama antara barisan kejurulatihan dan juga pemain yang mana senjata utama kita adalah disiplin tinggi yang dipamerkan pemain.

Kesemua pemain mengikut segala rancangan taktikal yang telah diatur dengan baik sekali. Saya anggap kejohanan ini sebagai ‘pemanas badan’ untuk melangkah dengan lebih jauh lagi pada kelayakan Piala AFC B-20 bulan September depan,”

katanya.

Hassan turut berkata, kejayaan pasukannya adalah hasil dari program pembangunan yang cukup baik di negara yang menyaksikan Malaysia dapat melahirkan ramai pemain pelapis berkualiti.

Beliau pada masa turut mengucapkan terima kasih kepada semua jurulatih yang terlibat dalam program tersebut yang sentiasa berusaha keras untuk melahirkan pemain-pemain berkualiti dari akar umbi.

Malah beliau berharap dengan adanya platform tersebut Malaysia akan terus melahirkan lebih ramai lagi pemain berkualiti.

Dalam pada itu, Hassan berkata walaupun tempoh persiapan pasukannya agak pendek, tetapi dengan usaha dan juga kerjasama yang diberikan menjadi salah satu faktor kejayaan pasukan.

Beliau enggan terus dibuai dengan kejayaan di Piala AFF B-19, sebaliknya beliau akan mula membuat perancangan untuk persiapan pasukan untuk menghadapi kelayakan Piala AFC B-20 pula selepas ini.

Hassan juga tidak menolak kemungkinan akan mengatur perlawanan persahabatan menentang pasukan Indonesia sebagai salah satu persiapan pasukan nanti.