Jaringkan gol di perlawanan akhir untuk tebus kembali kesilapan di peringkat kumpulan – Faiz Amer

1,181

Pemain pertahanan B-19 negara, Faiz Amer mendedikasikan jaringan penting beliau di perlawanan akhir menentang Laos sebagai menebus kembali kesilapan yang dilakukannya pada perlawanan peringkat kumpulan.

“Saya ingin jaringkan gol untuk tebus semula kesalahan saya pada perlawanan menentang Laos sebelum ini dan saya sangat gembira dapat berbuat demikian,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Faiz yang dipilih sebagai tonggak utama di barisan pertahanan berjaya membuktikan kekebalan menerusi kekangan demi kekangan yang dilakukan pada dua perlawanan terakhir menentang Vietnam dan Laos di peringkat kalah mati.


Beliau yang turut beraksi bersama pasukan B-23 negara di bawah kendalian bekas ketua jurulatih, Brad Maloney memanfaatkan peluang tersebut untuk terus memperaga aksi terbaik pada setiap perlawanan.

“Saya rasa pengalaman beraksi bersama pasukan sebaya kali ini berjaya bantu saya untuk tonjolkan kemampuan sebenar saya.

Pengalaman bersama pasukan B-23 sebelum ini amat membantu pada kejohanan ini, saya memperoleh banyak ilmu bersama dengan pemain yang lebih berpengalaman di skuad B-23 dan saya berjaya terapkan bersama pasukan ini.”

Selain Faiz, Ubaidullah merupakan seorang lagi pemain skuad ini yang turut beraksi bersama skuad B-23 di temasya Sukan SEA Hanoi dan Piala Asia B-23 2022 yang berlangsung di Uzbekistan baru-baru ini.

Sama seperti rakan sepasukan yang lain, Faiz langsung tidak terkesan dengan corak permainan kasar yang digunakan oleh pihak lawan.

“Saya rasa pihak lawan hanya bertindak kasar untuk menakutkan pemain negara tapi kami langsung tidak terkesan dengan perkara tersebut.

Kami terus bermain dengan cara kami berdasarkan arahan yang diberikan oleh jurulatih.”

Beliau tetap berjaya mempamerkan aksi terbaik meskipun berhadapan dengan beberapa masalah seperti keadaan padang yang teruk akibat hujan lebat pada hari perlawanan.

Dalam pada itu, gandingan mantap Faiz dan Ubaidullah di bahagian pertahanan tengah akan terus menjadi taruhan utama skuad B-19 bagi menghadapi saingan yang lebih mencabar di masa hadapan.

Faiz selepas ini akan kembali beraksi bersama pasukan Selangor FC II bersama dengan beberapa rakan sepasukan yang lain seperti Syahmi Adib, Danish Irfan dan Fakrul Fareez.