Haykal Danish tidak gentar ancaman lawan, saiz bukan pengukur sebenar kehebatan seorang pemain
Pemain lincah negara, Haykal Danish tidak menganggap fizikal badan yang kecil sebagai penghalang untuk beliau terus memperagakan aksi berkualiti pada setiap perlawanan.
Asakan bertali arus yang dilakukan oleh pemain pasukan lawan tidak memberi kesan kepada pemain tersebut yang dilihat bergerak bebas untuk memberikan asakan ke arah gawang lawan.
“Saya tidak risau kerana bagi saya perkara tersebut merupakan situasi yang biasa dihadapi oleh saya sebelum ini.
Saya tetap berusaha untuk memberikan yang terbaik meskipun memiliki saiz yang jauh lebih kecil berbanding pemain lain,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Lebih manis lagi, Haykal berjaya mencatatkan nama selaku salah seorang penjaring pada perlawanan penting menentang Vietnam yang berkesudahan dengan kemenangan 3-0 berpihak kepada pasukan Harimau Muda.
“Saya sebenarnya tidak percaya berjaya menjaringkan gol, tambahan pula saya merupakan antara pemain termuda yang berada di dalam pasukan.”
Pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD) ini merupakan salah seorang pemain yang telah dihantar untuk menjalani sesi latihan percubaan bersama dua buah kelab di Perancis dan Luxembourg, FC Annecy dan Racing FC pada 2 Jun yang lalu.
Beliau yang akan menjadi antara pelapis skuad masa hadapan negara berharap dapat meneruskan momentum kecemerlangan di masa hadapan.
“Saya harap saya akan dapat terus perbaiki permainan saya selepas ini, saya juga mengimpikan untuk beraksi di peringkat yang lebih tinggi selepas ini.”
Haykal merupakan antara pemain terbaik AMD untuk generasi 2005 dan pernah berpeluang beraksi bersama pasukan B-13 Paris Saint Germaint (PSG).