Azfar Fikri sedih dan kecewa Brad Maloney tidak lagi kendalikan skuad B-23

1,534

Pemain Terengganu FC II (TFC II), Azfar Fikri mengakui berasa sedih dan kecewa apabila mendapat tahu ketua jurulatih skuad B-23 negara iaitu Brad Maloney tidak lagi mengendalikan skuad itu apabila mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan itu.

“Saya berasa kecewa dan sedih pun ada tapi apa pun keputusan beliau (Maloney), itu yang terbaik buatnya.

Sebagai seorang pemain saya memang kecewa kerana beliau merupakan individu yang mencungkil bakat saya sebab beliau bagi peluang pada saya dan saya perform. Susah nak dapat jurulatih seperti itu. Bagi saya beliau adalah yang terbaik,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai perlawanan TFC II menentang Perak FC pada malam tadi, pemain berusia 22 tahun itu mengakui berdepan tugas sukar mengekang asakan pihak lawan sepanjang 90 minit permainan.


Malah beliau yang sebelum ini bermain di posisi menyerang pada malam ini diarahkan oleh ketua jurulatih Badrul Afzan untuk bermain di posisi tengah sedikit bergelut.

“Perlawanan malam ini agak susah kerana Perak bermain dengan high pressing, kita dapat bola pun mereka terus tekan kita, tapi Alhamdulillah dapat satu poin pun dah bersyukur.”

Tambah Azfar lagi, pada perlawanan tersebut TFC II bermain dengan menggunakan seorang sahaja pemain import, tetapi mereka berjaya mengekang serangan bertali arus oleh Perak yang mana perlawanan berkesudahan tanpa jaringan.

Sementara itu, Azfar berkata beliau akan terus berusaha dengan lebih keras lagi untuk mendapat tempat dalam skuad kebangsaan dan juga pasukan utama Terengganu.

“Bagi saya, jangan cepat berpuas hati dengan prestasi sekarang ini, saya perlu bekerja keras kerana banyak lagi yang saya perlu perbaiki dan terus fokus.”