Perlu ke Liga Simpanan (B-23) ada pemain import?

1,284

Ketika ini terdapat khabar angin yang sedang kuat kedengaran yang mengatakan bahawa Malaysian Football League (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan melakukan rombakan Liga Malaysia pada musim hadapan.

Rombakan berkemungkinan besar akan berlaku ini dibuat selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengeluarkan kenyataan bahawa Liga Malaysia kurang kompetitif kerana kekurangan perlawanan.


Menerusi rombakan liga, saingan Liga Super akan menjadi lebih kompetitif apabila ia akan menambah pasukan dari 12 kepada 18 pasukan bersaing bagi merebut gelaran juara.

Saingan Liga Perdana pula akan dibubarkan buat sementara waktu, dan yang menariknya MFL dikatakan akan memperkenalkan Liga Simpanan (Reserve League) yang mana ia dikhaskan kepada pemain B-23 dengan kesemua pasukan feeder dimansuhkan.

Ia satu inisiatif yang cukup bagus oleh MFL kerana ia akan memberi peluang kepada pemain-pemain muda tempatan untuk mendapat minit permainan berikutan ketika ini mereka sering memanaskan bangku simpanan sahaja berikutan kesebelasan utama sering didominasi oleh pemain import.

Bagaimanapun format Liga Simpanan ini masih lagi belum jelas kerana banyak persoalan yang menjadi tanda tanya antaranya adalah pemain lebih usia akan diberi peluang untuk turut beraksi dalam saingan Liga Simpanan ini dengan jumlah kuota ‘tertentu’.

Satu lagi persoalan adalah adakah kuota pemain import akan diperkenalkan dalam saingan Liga Simpanan?

Untuk persoalan pertama iaitu membabitkan pemain tempatan lebih usia rasanya boleh dibenarkan untuk beraksi bersama skuad simpanan kerana ia dapat mengekalkan prestasi sekiranya mereka tidak mendapat tempat dalam skuad utama.

Bagaimanapun kuota untuk pemain lebih usia ini perlu ditetapkan supaya ia tidak menjejaskan objektif utama pengenalan Liga Simpanan ini.

Namun persoalan kedua mengenai pemain import ini pasti akan menjadi topik hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

Tidak dapat dinafikan jika kuota pemain import akan diperkenalkan, sudah pasti dalam jumlahnya ‘sedikit’, sebagai contoh tiga pemain import sahaja, tetapi adakah kehadiran pemain import perlu dalam saingan Liga Simpanan?

Objektif utama Liga Simpanan adalah untuk memberi peluang kepada pemain muda tempatan mendapat minit permainan, jadi mengapa perlu wujudkan kuota pemain import? Tak bolehkah gunakan platform ini untuk guna seratus peratus pemain tempatan?

Ketika ini kesebelasan utama dalam pasukan di Liga Super didominasi oleh lima pemain import menyebabkan hanya segelintir ramai pemain tempatan sahaja mendapat peluang dan selainnya hanya duduk di bangku simpanan.

Perkara ini boleh memberi kesan buruk kepada pasukan kebangsaan apabila kita berkemungkinan tidak akan mempunyai skuad yang ampuh apabila beraksi di pentas antarabangsa.

Pengenalan Liga Simpanan ini adalah satu inisiatif yang cukup baik oleh pihak MFL dan FAM dalam memperkasakan bola sepak tempatan, tetapi pelaksanaan perlu dibuat dengan teliti supaya objektif utama dapat dicapai.