Usia bukan penghalang, jadikan juara Liga Perdana sebagai matlamat utama – Yusri Yuhasmadi

1,018

Pemain pertahanan Kelantan FC, Yusri Yuhasmadi beraksi cemerlang mengekang asakan yang dilakukan oleh pemain pasukan UiTM FC untuk menghadiahkan kemenangan bermakna 1-0 pada perlawanan Liga Perdana hari ini (18 Julai).

Lebih manis, pemain berusia 23 tahun tersebut telah diberi kepercayaan oleh ketua jurulatih, Rezal  Zambery untuk memakai lilitan kapten meskipun terdapat beberapa pemain berpengalaman seperti Khairul Helmi dan Jasmir Mehat.


“Bagi saya, usia yang lebih muda bukan penghalang untuk menjadi ketua pasukan.

Cukup kesemua pemain dapat mengikut arahan yang diberikan untuk sama-sama beraksi dengan cemerlang.”

katanya kepada Harimau Malaya.

Diletakkan di bahagian pertahanan tengah, Yusri dilihat berjaya mempamer aksi memberangsangkan sepanjang 90 minit aksi permainan.

Gandingan beliau bersama Ghaffar Rahman berjaya membantu penjaga gol, Nik Mohd Amin untuk mengelak dari dibolosi oleh pemain muda yang dibariskan oleh pasukan UiTM.

“Kejayaan ini adalah atas usaha semua pemain tambahan pula ini adalah pertama kali kita bermain di sebelah petang.”

Dalam pada itu, jadual perlawanan di sebelah waktu petang jelas memberi kesan kepada kualiti permainan kesemua pemain.

Persediaan yang lebih rapi perlu dilakukan oleh Rezal menjelang aksi mendebarkan bertemu pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) FC II selepas ini.

“Cuaca sangat panas dan sedikit memberi kesan kepada permainan tapi kami akan cuba biasakan diri dengan perkara ini melalui latihan yang lebih di sebelah petang.”

Yusri juga berharap selepas ini pasukan The Red Warriors dapat kembali beraksi pada waktu malam.

Situasi ini juga membantu untuk memastikan penyokong pasukan tersebut kembali membanjiri gelanggang keramat, Stadium Sultan Mohamed IV yang sekian lama tidak dapat digunakan sebelum ini.

“Harapan saya adalah kesemua penyokong dapat hadir ke stadium terutama sekali pada perlawanan menentang JDT II selepas ini walaupun cuaca sedikit panas.”

Kehadiran penonton jelas akan menjadi dorongan terbaik untuk pasukan tersebut yang kini berada di landasan terbaik untuk mencabar takhta kejuaraan Liga Perdana.

Sasaran yang diletakkan tersebut adalah realistik tatkala skuad Pantai Timur ini berjaya menunjukkan aksi konsisten sepanjang musim ini.

“Bagi saya sasaran juara yang diletakkan tidak memberi tekanan kepada pemain dan kami akan berusaha untuk merealisasikan perkara tersebut.”

Susulan kemenangan ini, Kelantan kembali merampas kedudukan teratas liga mendahului pasukan Terengganu FC II dengan mempunyai berkelebihan dua perlawanan di tangan.