Kesemua pasukan adalah sama, pemain import tidak beri kesan kepada pemain muda UiTM FC – Mohamad Ramadhan
Ketua pasukan UiTM FC, Mohamad Ramadhan telah mempamerkan aksi cukup cemerlang sepanjang perlawanan menentang Kelantan FC pada petang tadi walaupun mereka tumpas 1-0.
Penjaga gol berusia 28 tahun itu merupakan watak penting dalam memastikan pasukan UiTM tidak dibolosi dengan jumlah jaringan yang besar.
“Bagi saya, aksi baik hari ini bukan hanya dari saya tapi hasil usaha dari kesemua pemain.
Saya harap satu mata adil untuk kedua-dua pasukan tetapi nasib tidak menyebelahi kami,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Aksi berkualiti daripada Ramadhan berjaya menghalang beberapa percubaan merbahaya yang dilakukan oleh barisan serangan The Red Warriors termasuk satu rembatan yang dilakukan oleh penyerang, Norshamil Ghani yang berjaya ditepis.
Dalam pada itu, kehadiran pemain berpengalaman seperti Ramadhan turut membantu dalam menstabilkan pasukan tersebut yang dibarisi oleh pemain tempatan susulan kecederaan yang dihadapi oleh pemain import pinjaman dari Selangor FC, George Attram.
“Saya sentiasa mengingatkan rakan sepasukan bahawa kesemua pasukan adalah sama walaupun mereka mempunyai pemain import.
Pemain muda mempunyai kelebihan dari segi semangat dan tenaga untuk memberikan persembahan yang baik.”
Ramadhan yang memulakan karier bersama pasukan belia Kelantan juga pernah berpeluang beraksi bersama pasukan Harimau Muda di saingan Liga Singapura pada tahun 2013.
Dalam pada itu, beliau turut senada dengan beberapa pemain yang turut terkesan dengan aksi di sebelah petang.
“Perlawanan di sebelah petang nyata memberi kesan terhadap stamina kesemua pemain.”
Meskipun dijadualkan menentang pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) FC II yang mempunyai rekod lebih baik, Ramdhan tetap optimis terhadap kemampuan pemain pasukan The Lions untuk melakukan kejutan.
“Kalau para pemain dapat meneruskan momentum yang ditunjukkan pada hari ini, kami optimis untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata.
Kemenangan akan jadi bonus terbaik kepada pasukan kami.”
Khidmat Ramadhan di gawang gol akan terus ditagih tatkala ketua jurulatih, Ismail Ibrahim meletakkan sasaran untuk layak ke saingan Piala Malaysia bagi mengakhiri saingan musim ini.