Pasukan bertambah dalam saingan Liga Super tapi hadiah kemenangan masih kekal

2,154

Menjelang penghujung saingan Liga Malaysia tidak lama lagi, dunia bola sepak tempatan kini kecoh dengan desas-desus yang mengatakan bahawa musim hadapan pihak Malaysian Football League (MFL) akan melakukan rombakan liga.

Rombakan terbaru itu akan menyaksikan Liga Super akan mempunyai 18 pasukan iaitu penambahan enam pasukan dan saingan Liga Perdana akan dibubarkan buat sementara itu.


Tujuan rombakan liga ini dikatakan akan dibuat bagi menjadikan saingan liga tempatan lebih kompetitif selepas Persekutan Bola Sepak Dunia (FIFA) sebelum ini pernah menyatakan bahawa saingan Liga Malaysia tidak kompetitif.

Jika rombakan liga ini berlaku, ia pasti akan mendapat sokongan ramai peminat yang sebelum ini rata-rata mendesak agar saingan Liga Super menambah jumlah pasukan bagi menjadikan persaingan lebih kompetitif.

Setiap pasukan selepas ini akan bermain sebanyak 34 perlawanan liga iaitu tambahan 12 perlawanan pada musim ini.

Ia adalah satu perkembangan yang cukup positif buat saingan liga tempatan, tetapi satu perkara menjadi persoalan adalah jumlah hadiah kemenangan yang tidak akan dinaikkan walaupun Liga Super selepas ini mungkin akan mempunyai 18 pasukan.

Perkara ini bukanlah perkara baru kerana ia pernah dibangkitkan tahun lalu apabila juara Liga Super hanya mendapat RM 1 juta sahaja.

Ada yang mengatakan jumlah tersebut sepadan dalam kalangan saingan liga utama di Asia Tenggara dengan Liga Super berada di kedudukan kedua dibelakang Thai League 1 yang menawarkan hadiah kemenangan berjumlah RM1.2 juta.

Jadi mengapa ada yang mengatakan jumlah hadiah kemenangan Liga Super sedikit? Ini kerana pemain-pemain di liga utama negara mempunyai purata gaji yang cukup lumayan jika hendak dibandingkan dengan pemain-pemain yang beraksi di liga utama di rantau Asia Tenggara ini.

Malah ada juga yang mendakwa gaji pemain di liga tempatan setaraf atau lebih daripada liga utama di Asia seperti J-League dan K-League.

Sebagai contoh, hadiah kemenangan untuk saingan J-League menyaksikan juara liga akan menerima lebih RM9.6 juta.

Memang agak mustahil untuk kita mengikut jejak langkah seperti J-League yang mampu menawarkan hadiah kemenangan besar, tetapi sekurang-kurangnya jumlah tersebut dapat dinaikkan sedikit sekaligus selari dengan rombakan liga jika ia dilaksanakan nanti.

Mungkin ada perubahan di saat-saat akhir nanti? Sama-sama kita tunggu.