5 tonggak skuad B-19 mungkin berada dalam radar Kim Pan-gon

3,114

Kejayaan pasukan kebangsaan B-19 negara kendalian Hassan Sazali menjadi juara Piala AFF B-19 baru-baru ini telah membuktikan bahawa Malaysia tidak pernah ketandusan pemain muda berkualiti.

Ketika pemilihan pemain B-19 untuk menyertai kejohanan dwitahunan ini, tidak ramai yang mengenali pemain-pemain muda ini tetapi kini mereka menjadi perhatian ramai termasuk ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon yang sudah mula mengintai beberapa pemain.


Perkara itu diakui sendiri oleh Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) iaitu Scott O’Donnell yang berkata ada di kalangan pemain tersebut mempunyai potensi untuk diserap ke skuad senior ataupun menyertai latihan pusat.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan nama-nama pemain tersebut kerana tidak mahu mereka berasa tekanan, sebaliknya mereka ini perlu buktikan kemampuan mereka bersama kelab masing-masing terlebih dahulu termasuk mendapatkan minit permainan.

Melihat kepada prestasi pemain yang turun beraksi sepanjang kejohanan Piala AFF B-19, beberapa nama ini dilihat mempunyai peluang untuk beraksi bersama skuad senior.

Antaranya adalah kapten pasukan iaitu Aysar Hadi yang bermain di tengah dengan begitu baik sekali sepanjang kejohanan berlangsung.

Walaupun terlepas pada perlawanan terakhir kumpulan susulan kad merah, namun Aysar tampil dengan aksi yang cukup mantap dalam mengawal di bahagian tengah sekaligus membantu skuad Harimau Muda untuk menang bergaya pada perlawanan separuh akhir menentang gergasi Vietnam dan membalas dendam terhadap Laos di perlawanan akhir.

Seorang lagi pemain iaitu Najmudin Akmal yang bermain di bahagian serang turut menjadi tumpuan apabila menjadi antara penjaring gol buat skuad negara.

Gerakan lincah dan kemampuan menggelecek Najmudin sering mencetuskan masalah buat barisan pertahanan pihak lawan. Kelajuan, keyakinan tinggi dan kualiti yang ada pada pemain muda ini nyata berjaya membuka mata ramai pihak.

Selain Najmudin, seorang lagi mesin gol iaitu Adam Farhan boleh dikatakan sentiasa menjadi ‘duri dalam daging’ dengan larian-larian yang cukup pantas dan sangat klinikal apabila di hadapan pintu gol lawan, dan menjadi penjaring terbanyak dalam skuad negara dengan tiga gol.

Dalam pada itu, seorang lagi pemain tengah negara, Haiqal Haqeemi juga menjadi antara watak penting buat skuad Harimau Muda apabila beliau mempamerkan aksi yang cukup konsisten sepanjang  kejohanan berlangsung.

Berjaya mengawal di bahagian tengah dengan baik bersama Aysar, Haiqal juga sangat berbisa di hadapan gol apabila berjaya menjaringkan dua gol.

Sementara itu, disebalik kehebatan di barisan pertahanan, tengah dan serangan, benteng terakhir iaitu penjaga gol Syahmi Adib menjadi antara pemain terpenting dalam pasukan apabila aksi mantap yang dipamerkannya berjaya mematahkan banyak percubaan bahaya.

Ketangkasan yang dipamerkan oleh Syahmi memperlihatkan beliau seperti tidak boleh ditewaskan walaupun berdepan situasi satu lawan satu.

Lebih mengujakan apabila beliau berjaya mengekalkan clean sheet ketika menentang Vietnam dan Laos sekaligus layak diangkat sebagai penjaga gol terbaik kejohanan.

Syahmi mempunyai potensi besar untuk menjadi penjaga gol utama negara satu hari nanti bagi menggantikan Farizal Marlias, Syihan Hazmi dan Khairulazhan Khalid.

Walaupun pemain muda tersebut cemerlang di Piala AFF B-19, mereka kini perlu buktikan kemampuan dalam saingan liga tempatan pula jika ingin mendapat peluang menyertai kem latihan skuad senior yang dijadual berlangsung pada September depan.

Tidak mustahil salah seorang daripada mereka akan diserap dan juga diturunkan pada perlawanan persahabatan antarabangsa nanti.

Siapa yang bakal dipanggil? Pilihan KPG nanti akan menjadi perhatian ramai.