Real Chukai FC jadi contoh terbaik, wujudkan Dock Cafe sebagai salah satu sumber kewangan pasukan
Pasukan Liga M3, Real Chukai FC semakin bergerak ke hadapan selepas pembukaan kafe yang diberi nama ‘Dock Cafe’.
Kafe tersebut telah dirasmikan oleh Pengerusi Liga Bola Sepak Amatur (AFL), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi pada 2 Julai lalu.
Ini merupakan salah satu perancangan yang telah dirangka oleh pihak pengurusan pasukan sebelum permulaan musim kali ini.
Lebih menarik, kafe ini berjaya dibuka pada pertengahan musim dan telah mula beroperasi selama lebih kurang sebulan.
Ketua Pegawai Operasi Real Chukai, Mohammad Fadhil menyifatkan bahawa inisiatif ini akan menjadi salah satu sandaran utama kepada pasukan yang berpengkalan di daerah Kemaman ini untuk mengukuhkan lagi kekuatan dana pasukan untuk terus bersaing di liga.
“Pada dasarnya, kami hanya memberi fokus kepada matlamat utama untuk memperkukuhkan ekonomi kelab.
Bidang penyediaan makanan dan minuman merupakan salah satu ruang yang dilihat sesuai untuk kami eksploitasi dan kami berharap pendapatan dari kafe ini dapat sedikit sebanyak membantu kelab.”
katanya kepada Harimau Malaya.
Meskipun masih baru, pembukaan Dock Cafe ini telah berjaya menarik perhatian ramai pengunjung yang datang dari sekitar kawasan stadium untuk menikmati pilihan menu yang ditawarkan.
Perkembangan positif ini merupakan hasil penelitian terperinci yang dilakukan oleh pihak pengurusan sebelum membuat keputusan untuk merealisasikan cadangan pembinaan kafe ini.
“Kita sudah mengkaji keadaan pasaran semasa terlebih dahulu, kita juga perlu mempunyai kumpulan sasaran yang tepat dan pilihan makanan yang bersesuaian.
Keadaan persekitaran komuniti juga perlu diambil kira dan setakat ini kami telah berjaya menarik kumpulan sasaran yang dikehendaki.”
Tindakan proaktif yang diambil oleh pasukan ini perlu dijadikan contoh kepada pasukan amatur lain untuk mencari cara dalam memastikan kestabilan struktur kewangan pasukan bagi jangka masa yang lebih panjang.
“Banyak faktor yang menyumbang kepada kestabilan sesebuah pasukan.
Contoh seperti nilai liga, sokongan daripada komuniti dan penyokong memainkan peranan yang sangat penting.
Sebelum ini, kita telah melihat kegagalan beberapa buah kelab yang terpaksa membuat keputusan untuk membubarkan pasukan tatkala dihimpit dengan masalah kewangan yang sangat teruk.
Oleh sebab itu, pemilik pasukan perlu memainkan peranan yang lebih untuk sentiasa menilai tahap kemampuan dari masa ke masa untuk memastikan mereka sentiasa berada di landasan yang terbaik,” katanya.
“Saya rasa apa yang Zamsaham buat bersama pasukan Kelantan adalah sebuah revolusi baru yang membuka mata untuk kembali mengkaji matlamat sebenar sukan bola sepak.
Saya rasa perlu ada anjakan paradigma dari pemegang taruh sesebuah kelab untuk meneliti semula tujuan sebenar mereka.” tambah Fadhil.
Dock Cafe yang berada di dalam kawasan Stadium Mak Chili akan terus menjadi salah satu tarikan utama bagi peminat yang hadir ke ke gelanggang keramat tersebut selain memberikan sokongan kepada pasukan kegemaran mereka.