Tak mudah kendalikan kelab amatur, nak dapatkan kesebelasan utama tetap pun sukar – Mohd Nik
Mungkin ramai yang menyangka mengendalikan kelab bola sepak berstatus amatur tidaklah susah dan mampu dilakukan oleh sesiapa sahaja.
Namun di sebalik status yang tidak gah itu, terdapat cabaran dan isu tertentu yang terpaksa dihadapi dan mungkin tidak timbul di kelab profesional.
Bagi ketua jurulatih Real Chukai FC, Mohd Nik, cabaran utama mengendalikan pasukan yang bermain di Liga M3 seperti Real Chukai adalah komitmen pemain terhadap pasukan memandangkan mereka turut mempunyai komitmen lain di luar.
Beliau memberikan contoh beberapa orang anak buahnya yang mempunyai pekerjaan di luar dan terlepas sesi latihan atau perlawanan bersama pasukan.
“Rata-rata mereka ini akan hadir ke sesi latihan selepas tamat kerja dan kadang-kadang ada juga yang terlepas latihan.
Dari segi kontrak pemain hanya dibayar elaun untuk hadir ke sesi latihan dan perlawanan, jadi masalah seperti itu memang kita kena hadapilah,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Beliau yang mempunyai lesen kejurulatihan kelas A Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengakui tidak mempunyai kesebelasan utama yang tetap pada musim ini disebabkan perkara itu.
Tambahnya lagi, ada juga pemain yang turut menyertai kejohanan bola sepak lain walaupun sedar mereka sedang bertanding di Liga M3.
“Musim depan kelab harus lakukan sesuatu dari segi kontrak supaya mereka betul-betul beri tumpuan terhadap pasukan.
Tetapi ini adalah musim pertama kami bermain di Liga M3 jadi kami jadikan ini sebagai satu proses pembelajaran untuk musim-musim seterusnya.”
Tambah Mohd Nik, beliau kini sedang cuba menerapkan sikap profesionalism dalam kalangan pemainnya supaya mereka menganggap diri mereka seperti seorang pemain profesional walaupun hanya bermain di liga amatur.
Dalam pada itu, beliau percaya Real Chukai mampu pergi lebih jauh namun proses itu tidak mudah dan akan mengambil masa yang panjang.