Saya mahu pemain Penang ‘maintain’ prestasi permainan vs JDT – Zainal Abidin Hassan
Ketua jurulatih pasukan Penang FC, Zainal Abidin Hassan memuji aksi pemain-pemainnya walaupun mereka terpaksa akur tumpas di tangan pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) 1-0 di tempat sendiri.
“Saya mahu mengubah ‘mindset’ pemain-pemain saya supaya mereka bukan hanya beraksi baik ketika menentang Terengganu FC atau JDT saja. Mereka perlu ‘maintain’ standard mereka dengan pasukan mana sekalipun mereka bermain.
Jadi pada perlawanan malam tadi saya dapat lihat satu aksi berdisiplin dipamerkan oleh pemain tetapi sekali lagi kecuaian sedikit telah memberi pihak lawan gol kemenangan,”
katanya.
Walaupun tewas, namun Zainal gembira melihat peningkatan prestasi yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya ketika ini, dan menuntut mereka mengekalkan prestasi sama sehingga penghujung musim ini.
“Jika mereka mampu mengekalkan momentum ini, InsyaAllah saya percaya mereka boleh pergi dengan jauh lagi.”
Dalam pada itu, pengendali berusia 60 tahun itu mengulas mengenai persembahan penyerangnya iaitu Lucas Espindola Da Silva yang sedikit tumpul dan gagal melakukan serangan merbahaya di pintu gol lawan.
Zainal bagaimanapun tidak menyalahkan Lucas sepenuhnya kerana pemain itu baru kali kedua turun beraksi bersama pasukan Harimau Kumbang, jadi beliau perlu melakukan percaturan yang lebih efisyen untuk pemain itu.
“Saya akui kita kekurangan di bahagian serangan. Mungkin kerana ini perlawanan kedua Lucas bersama rakan sepasukan dan kita dapat tahu beliau adalah seorang ‘target man’ yang boleh diguna sekarang ini. Jadi saya perlu pelbagaikan dengan menyediakan seorang pemain yang mampu memberi bantuan kepadanya.
Jika kami dapat perbaiki bahagian ini, saya percaya selepas ini serangan kami akan menjadi lebih tajam.”
Tambahnya lagi, pada perlawanan malam tadi pasukan Harimau Kumbang sedikit tempang apabila mereka tidak dapat menurunkan tiga tonggak utama, tetapi beliau berbangga dengan pemain yang dimasukkan bersedia dan mempamerkan aksi yang cukup baik.
Sementara itu, Zainal berkata dengan prestasi semasa pemainnya, beliau merasakan mereka tidak sepatutnya berada dalam kedudukan tercorot liga dan berharap mereka akan terus pamer aksi konsisten untuk baki saingan liga nanti.
“Memang ada tekanan tapi saya mahu pemain kekalkan permainan berkualiti kerana kita ada banyak perlawanan lagi seperti Piala FA dan InsyaAllah kita akan cuba merebut tempat di Piala Malaysia, jadi kita tidak boleh ambil mudah kerana perjalanan masih jauh.
Oleh itu saya mahu pemain-pemain terus pamer aksi terbaik dan dengan itu sedikit demi sedikit kita akan perbaiki pasukan.”
Pada 31 Julai nanti, Penang akan melayan kunjungan pasukan Sarawak United FC yang mana mereka berpeluang untuk mencuri tiga mata sekaligus dapat memperbaiki kedudukan mereka di Liga Super.