Sembilan import adalah jumlah yang besar, lima pun dah cukup banyak! – Hafizul Hakim

3,168

Penjaga gol pasukan Penang FC, Hafizul Hakim mengakui cabaran besar yang akan dihadapi oleh para pemain tempatan selepas ini susulan daripada penstrukturan semula yang dilakukan oleh pihak Malaysian Football League (MFL) untuk saingan musim depan.

MFL telah menetapkan format pendaftaran sembilan pemain import kepada kesemua pasukan yang akan bersaing di Liga Malaysia musim depan.


“Jumlah sembilan import adalah suatu yang besar, lima import buat masa sekarang pun sudah cukup banyak.

Tetapi ini merupakan keputusan daripada MFL, jadi pemain tempatan perlu buktikan kemampuan dan biar ketua jurulatih membuat keputusan untuk memilih siapa,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Untuk penstrukturan Liga Malaysia 2023, Liga Super akan menyaksikan penambahan pasukan kepada 18 pasukan dengan setiap pasukan boleh mendaftarkan enam pemain import.

Manakala baki tiga lagi pemain import adalah untuk saingan Liga Simpanan (B-23) yang mana hanya lima pemain lebih umur termasuk tiga pemain import (hanya dua pemain import dibenarkan berada di atas padang) boleh didaftarkan.

Hafizul bagaimanapun memberi respon positif terhadap penganjuran Liga Simpanan yang akan diperkenalkan pada musim 2023.

Liga Simpanan akan dibarisi oleh pemain B-23 setiap pasukan Liga Super dan perkara ini akan menjadi solusi terbaik dalam meningkatkan minit permainan bagi kebanyakan pemain muda di Malaysia.

“Saya rasa ia merupakan satu tindakan yang baik kerana perlawanan akan menjadi lebih banyak dan akan membuka peluang kepada pemain untuk mendapatkan minit permainan.

Ini juga memberi kelebihan kepada pasukan kebangsaan yang akan mempunyai lebih ramai pemain yang sering beraksi di dalam liga.”

Pasukan Sri Pahang FC merupakan salah satu pasukan di Liga Malaysia yang menggunakan khidmat penjaga gol import pada musim ini.

Ekoran daripada perkara ini, penjaga gol berusia 29 tahun ini bertekad untuk terus berusaha bagi merebut tempat sebagai pilihan utama ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan.

“Terpulang kepada pengurusan pasukan, tiada masalah untuk saya sekiranya mereka ingin membawa masuk penjaga gol import.

Saya akan tetap berikan yang terbaik dan jalankan tugas saya sehabis baik.”

Sebelum ini, posisi penjaga gawang utama pasukan Harimau Kumbang dipegang oleh seorang lagi penjaga gol tinggi lampai, Khatul Anuar.

Namun, aksi berkualiti yang ditunjukkan oleh Hafizul berjaya memikat hati Zainal untuk terus meletakkan beliau sebagai benteng terakhir pasukan pada empat perlawanan terakhir.

Hafizul membalas kepercayaan tersebut apabila berjaya menyelamatkan beberapa percubaan merbahaya yang dilakukan oleh barisan penyerang pasukan JDT sepanjang perlawanan berlangsung.

Jaringan tunggal penyerang JDT, Fernando Rodriguez di minit ke-69 menjadi ‘duri dalam daging’ kepada malam cemerlang untuk Hafizul.