Masih belum ada calon ketua jurulatih skuad B-23, FAM tunggu KPG pulang terlebih dahulu
Hala tuju skuad B-23 negara masih belum dapat ditentukan selepas pengunduran bekas ketua jurulatih, Brad Maloney.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi memberitahu bahawa akan adanya satu sesi perbincangan yang lebih terperinci bersama ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon sebelum melakukan sebarang lantikan.
“Jawatankuasa yang dilantik masih dalam proses penilaian untuk mencari jurulatih yang terbaik untuk mengisi kekosongan ini.
Kami akan menunggu Pan-gon pulang terlebih dahulu untuk adakan perbincangan yang lebih intensif dan selari dengan pasukan utama.”
Beliau memberitahu perkara ini pada majlis sidang media yang diadakan sejurus selesai mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM Kali Ke-5 bagi penggal 2021-25 bersama pihak yang terlibat.
Pada masa yang sama, FAM selepas ini akan memastikan hala tuju skuad utama dan B-23 adalah sama dan mempunyai kesinambungan yang akan memberi kelebihan pada masa depan.
Tempoh perbincangan yang panjang ini adalah untuk memastikan FAM dapat melakukan pemilihan barisan kejurulatihan baru yang tepat dan mampu memberi impak yang terbaik kepada pasukan B-23.
“Kami akan pastikan jurulatih yang dipilih mempunyai corak latihan dan pendekatan yang lebih kurang sama dengan yang dipakai oleh pasukan utama.
Namun, tidak semestinya datang daripada barisan kejurulatihan KPG.”
Sebelum ini, ada khabar angin yang mengaitkan pembantu jurulatih skuad negara, Pau Marti Vicente sebagai salah seorang calon yang mungkin akan dipilih.
Dalam pada itu, pihak FAM juga tidak menolak kemungkinan untuk mendapatkan khidmat pengendali skuad B-19 negara, Hassan Sazali yang berjaya membimbing pasukannya menjadi juara di kejohanan AFF B-19 baru-baru ini.
Tetapi, perkara tersebut masih berada di peringkat perbincangan dan pihak jawatankuasa masih belum mempunyai sebarang kata putus buat masa ini.
Selepas ini, fokus skuad muda ini adalah untuk membawa cabaran negara di Sukan Asia yang telah ditunda sehingga ke September tahun hadapan.
Ini ekoran daripada penularan wabak COVID-19 yang tidak terkawal di negara China yang dilantik sebagai tuan rumah temasya tersebut.
Jarak masa yang dimiliki oleh pasukan ini perlu diguna sebaiknya untuk memantapkan lagi prestasi semasa skuad ini.
Terdahulu, bekas pemain Korea Selatan, Kim Dong-jin dan bekas jurulatih skuad Olimpik Korea Selatan, Kim Hak-bum merupakan antara nama yang dicanang sebagai calon jurulatih terbaru.
Corak permainan dan taktikal yang serupa dengan KPG menjadikan kedua-dua individu ini antara calon yang layak dan selari dengan matlamat yang ingin digunapakai oleh FAM.