‘Merajuk’ sehingga mahu tarik diri dari AFF, Indonesia sedia bersaing dengan gergasi Asia di EAFF?

13,472

Selepas tersingkir pada peringkat kumpulan saingan Piala AFF B-19 baru-baru ini, Indonesia dilihat seakan-akan ‘merajuk’ dengan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).

Ia gara-gara perlawanan terakhir kumpulan A antara Vietnam dan Thailand yang didakwa berlakunya unsur ‘mengatur perlawanan’ antara kedua-dua pasukan.


Masuk minit ke-75 kedua-dua pasukan dilihat tidak berusaha langsung untuk menggerakkan bola ke hadapan dan hanya bermain di kawasan sendiri ketika keputusan 1-1.

Keputusan seri itu kekal sehingga tamat perlawanan dan menyebabkan Indonesia yang juga tuan rumah tersingkir daripada kejohanan itu berdasarkan undang-undang Head-to-Head.

Selepas insiden tersebut, Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) ditekan oleh penyokong supaya meninggalkan AFF dan bergabung dengan Persekutuan Bola Sepak Asia Timur (EAFF).

Fans skuad Garuda mendakwa kedua-dua pasukan itu tidak mengamalkan prinsip fair play dan kecewa kerana tersingkir disebabkan peraturan itu walaupun mempunyai perbezaan gol yang paling tinggi.

Namun peraturan Head-to-Head sebenarnya memang telah diguna pakai lama oleh AFF dan mereka juga sudah cakna mengenainya sebelum kejohanan itu bermula.

Ketua Umum Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Mochamad Iriawan sudah mempertimbangkan cadangan penarikan diri dari AFF manakala EAFF juga dilaporkan bersedia menerima mereka.

Jika perkara itu benar-benar berlaku, ia bukanlah kali pertama sebuah negara yang bernaung bawah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menukar keanggotaannya.

Pada tahun 2015, Afghanistan menukar keanggotaannya daripada Persekutuan Bola Sepak Asia Selatan (SAFF) kepada Persekutuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFF).

Begitu juga dengan Iran yang keluar daripada Persekutuan Bola Sepak Asia Barat (WAFF) kepada CAFF pada tahun 2015.

Namun adakah Indonesia sudah memikirkan masak-masak kerana harus diakui kebanyakan pasukan di EAFF adalah jauh lebih hebat daripada AFF.

Sedangkan di AFF pun mereka bukanlah yang terbaik, apatah lagi mahu bersaing dengan negara-negara seperti Korea Utara, Korea Selatan, China dan Jepun yang merupakan gergasi di rantau Asia.

Malah dua pasukan terkuat di AFF iaitu Thailand dan Vietnam pun masih belum mencapai tahap kesemua negara tersebut.