Belum putuskan skuad ke Sukan SEA 2023, FAM ada rancangan untuk masa depan skuad B-17 dan B-20 negara
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) setakat ini masih belum membuat pilihan untuk menghantar mana-mana skuad ke kejohanan Sukan SEA yang akan diadakan di Kemboja pada tahun hadapan.
Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar turut memberitahu bahawa keputusan akan dibuat berdasarkan keadaan semasa pasukan B-17 dan B-20 negara.
“Setakat ini masih belum ada keputusan dibuat, buat masa ini kedua-dua pasukan mempunyai kejohanan yang lebih penting dan yang perlu diberi fokus terlebih dahulu,”
katanya.
Kedua-dua pasukan ini akan menjadi antara harapan utama untuk menggalas cabaran di beberapa kejohanan besar selepas ini.
Tambahan pula, skuad B-20 negara kendalian ketua jurulatih, Hassan Sazali telah berjaya menjadi juara di kejohanan Piala AFF B-19 baru-baru ini.
Perkara ini sedikit sebanyak memberi sinar harapan kepada para peminat yang sentiasa menantikan agar berlakunya kebangkitan bola sepak negara bermula dari peringkat umur yang muda.
Selepas ini, tumpuan akan diberikan kepada skuad B-16 negara yang akan berangkat ke Indonesia pada 30 Julai ini untuk menyertai kejohanan Piala AFF B-16.
Ketua jurulatih, Osmera Omaro telah memanggil seramai 28 orang pemain untuk menghadiri kem latihan pusat bertempat di Majlis Sukan Negara (MSN) yang sudah bermula sejak 18 sehingga 29 Julai ini.
Pertandingan ini merupakan antara kejohanan utama yang akan dihadapi oleh anak buah Osmera sebelum menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia B-17 yang turut diadakan di Indonesia pada 1 hingga 8 Oktober kelak.
Pengarah Teknikal negara, Scott O’Donell menegaskan bahawa tiada sebarang sasaran yang tinggi telah diletakkan kepada skuad ini bertujuan untuk mengurangkan tekanan kepada semua pemain.
“Kami tidak meletakkan sebarang harapan yang tinggi kepada pasukan ini sama seperti apa yang dilakukan kepada pasukan B-19 sebelum menjadi juara Piala AFF sebelum ini.”
Namun, besar harapan para peminat bola sepak negara untuk melihat para pemain muda ini dapat meneruskan kesinambungan kejuaraan yang dimenangi oleh pasukan B-19 sebelum ini.
Skuad B-16 negara akan dibarisi oleh pemain dari dua akademi bola sepak utama di Malaysia iaitu Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan Akademi Johor Darul Ta’zim (JDT).
Osmera perlu menggunakan peluang ini untuk membuktikan kemampuan beliau sebagai seorang jurulatih berpengalaman.
Penyertaan di Piala Dunia B-17 2023 Peru merupakan antara sasaran utama yang perlu dicapai oleh skuad muda negara ini.