Falsafah AMD ketika ini tidak berubah daripada apa yang diterapkan oleh LTK – Osmera Omaro
Ketua jurulatih skuad B-16 negara, Osmera Omaro mengakui falsafah yang diterapkan oleh bekas pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim masih menjadi teras dalam pasukannya.
Menurutnya, para pemain masih lagi diterapkan dengan mentaliti untuk mengawal permainan dan tidak hanya menantikan serangan pasukan lawan.
“Sudah tentu apabila pengarah berubah akan ada perubahan dari beberapa aspek tetapi falsafahnya tetap sama.
Mungkin dari segi prinsip dan gaya permainan sedikit berbeza tetapi secara asasnya kami mahu membentuk pemain yang boleh bermain di tahap yang terbaik,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dalam pada itu, beliau menyasarkan untuk menjadi juara pada kejohanan Piala AFF B-16 yang akan bermula pada 31 Julai ini di Indonesia.
Walaupun berasa tertekan terutama selepas skuad B-19 negara menjadi juara Piala AFF B-19 tempoh hari, beliau bagaimanapun tetap percaya dengan kemampuan anak buahnya.
Sementara itu, Osmera berkata ketiadaan beberapa pemain yang berpangkalan di Eropah dalam senarai 28 pemain ketika ini adalah disebabkan faktor taktikal dan bukannya logistik.
“Selepas kita berkampung selama dua minggu di AMD, saya bersama panel pemilihan merasakan bahawa pemain-pemain yang terpilih ini mampu membawa cabaran negara.
Mereka yang tidak terpilih tu bukanlah tidak bagus tetapi untuk jangka masa pendek mereka inilah pemain yang bersedia untuk kejohanan itu.”
Tambahnya, beliau ada menerima bantuan daripada pengarah teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Scott O’Donell mengenai info pasukan lain yang beraksi dalam kejohanan tersebut.
Dari segi persedian, Osmera memberitahu semuanya dalam keadaan yang baik dan pihaknya juga ada melakukan simulasi beberapa senario ketika hari perlawanan.