AFL yakin Kinabalu Jaguar FC & Harini FT yang mungkin akan naik ke Liga Super musim depan sudah bersedia

2,826

Kelmarin peminat bola sepak tanah air kecoh apabila Malaysian Football League (MFL) telah mengumumkan penstrukturan semula Liga Malaysia yang mana menyaksikan penambahan pasukan dalam saingan Liga Super.

Sebanyak 18 pasukan akan bersaing dalam Liga Super dengan empat pasukan dari Liga Perdana layak  naik secara terus, manakala baki dua pasukan lagi perlu bermain play-off dengan juara dan naib juara saingan Liga M3.


Berdasarkan kedudukan Liga M3 Kumpulan A dan Kumpulan B dan prestasi semasa, dua pasukan iaitu Kinabalu Jaguar FC dan Hariti FT dilihat mempunyai peluang cerah untuk naik ke Liga Super.

Sumber foto: AFL

Kedua-dua pasukan ini bagaimanapun perlu mengharungi saingan suku akhir, separuh akhir dan perlawanan akhir terdahulu jika ingin ke liga utama.

Walaupun terdapat kebimbangan mengenai pasukan Liga M3 tidak mampu untuk bersaing di Liga Super dari segi faktor pelesenan, kewangan dan juga pengalaman, Ketua Pegawai Operasi (COO) Amateur Football League (AFL), Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad bagaimanapun berpendapat sebaliknya.

“Kalau bercakap mengenai persediaan, saya rasa pasukan-pasukan yang berada di puncak liga (Kinabalu Jaguar & Harini) sememangnya sudah bersedia (bukan bersedia dari segi ada skuad Liga Simpanan dan Piala Presiden) untuk berusaha memastikan dan menepati kriteria-kriteria untuk bermain di Liga Super,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Raimi, sebelum penstrukturan liga diumumkan, pihak MFL sudah pun bertemu dengan pihak AFL dan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) bagi membincangkan mengenai perkara ini dan pihaknya menyambut baik penstrukturan itu.

Jika pasukan dari Liga M3 berjaya menang pusingan play-off dan naik ke Liga Super, pihak AFL dan MFL akan membantu pasukan ini untuk melengkapkan segala dokumentasi menaik taraf kelab berstatus amatur kepada kelab profesional.

Semalam dalam sidang media penstrukturan Liga Malaysia, Pengerusi MFL, Datuk Ab Ghani turut menyatakan bahawa syarat atau kriteria yang dikenakan kepada pasukan Liga M3 yang naik ke Liga Super tidak sama seperti pasukan di liga profesional ketika ini, sebaliknya MFL hanya akan meletakkan kriteria asas sahaja.

Bagaimanapun, jika pasukan tersebut tidak mampu juga untuk menepati kriteria asas yang ditetapkan, pihak MFL akan membawa perkara itu ke mesyuarat jawatankuasa bagi menentukan nasib pasukan tersebut samada akan dibenarkan beraksi atau tidak.

Dalam pada itu, beliau berkata untuk saingan Liga M3 pada musim hadapan, format liga akan diubah kepada satu liga sahaja yang mana ia akan melibatkan 14 pasukan.

“Musim depan kita tidak akan guna format kumpulan seperti musim ini dan hanya melibatkan 14 pasukan sahaja yang akan bersaing dalam Liga M3.

Sebanyak empat pasukan akan turun ke saingan Liga M4 yang akan mula diperkenalkan pada musim depan.”

Jelasnya lagi, baki pasukan lain yang akan beraksi dalam saingan Liga M4 adalah daripada pasukan teratas Liga M5.

Sementara itu, Raimi berkata dengan pemansuhan Liga Perdana pada musim hadapan telah membuka ruang kepada saingan Liga M3 untuk menyerlah berikutan ia boleh dikatakan menjadi ‘pengganti’ kepada liga divisyen dua.

Keadaan ini secara tidak langsung mampu menarik sejumlah peminat bola sepak untuk mengikuti aksi Liga M3.

“Memandangkan pada musim hadapan Liga M3 menggunakan format satu liga dengan seminggu hanya tujuh perlawanan berlangsung, kami merancang untuk menyiarkan kesemua perlawanan secara langsung.”

Beliau berkata pihaknya kini sudah mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak yang berpotensi untuk menjadi penyiar rasmi Liga M3, namun tidak dapat mendedahkan identiti pihak tersebut buat masa ini kerana ia masih belum dimuktamadkan.

Selain perubahan format, AFL juga akan melakukan sedikit perubahan terhadap jumlah wang kemenangan yang mana juara Liga M3 tidak lagi akan mendapat RM100,000, sebaliknya akan mendapat lebih yang mana jumlahnya akan dimaklumkan nanti.

“Jika sebelum ini hanya juara dan naib juara sahaja dapat, tetapi untuk musim hadapan pihak kami akan cuba memberi wang hadiah kemenangan kepada pasukan top-5.”

AFL juga meletakkan harapan untuk melihat pasukan-pasukan yang bermula dari bawah seperti Liga M5 mampu mencipta kejayaan naik ke Liga M4, M3, M2 dan akhir sekali naik ke Liga Super satu hari nanti.