Fizikal bukan kayu ukur utama, yakin mampu bersaing dengan pasukan seperti Filipina dan Australia – Farhana Suhaimi

273

Pemain pertahanan skuad B-18 wanita negara, Farhana Suhaimi bertekad untuk memberikan persembahan terbaik di kejohanan Piala AFF B-18 Wanita di Indonesia.

Farhana tampak optimis untuk mendapatkan tempat di dalam kesebelasan utama ketua jurulatih, Kok Keng Lin meskipun memiliki fizikal yang kecil.


“Saya rasa fizikal tidak langsung menjadi halangan utama untuk saya terus bersaing dan merebut tempat di kesebelasan utama negara,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Farhana merupakan antara muka baru yang dibawa masuk selepas berjaya mempamerkan aksi berkualiti di Liga Wanita Nasional (LWN) bersama pasukan Kelantan.

Beliau mengakui perlu bersaing dengan pemain sedia ada yang telah lama beraksi bersama ditambah dengan kehadiran seorang lagi pemain pertahanan yang berpengkalan di Phuket, Thailand, Lauren Hoh Ruyi.

“Setakat ini saya berjaya mendapat keserasian dengan pemain yang lain walaupun saya merupakan antara pemain yang baru bersama pasukan.

Selama dua minggu latihan bersama pemain yang lain, kami telah lakukan latihan yang mampu membantu kami untuk bersedia ke kejohanan ini.”

Latihan intensif yang telah berlangsung selama dua minggu turut membantu pemain berusia 17 tahun ini untuk segera mendapatkan rentak dan mampu beraksi mengikut taktikal yang digunakan oleh Keng Lin.

Pada masa sama, lambakan pemain berkualiti seperti ini akan menjadi kelebihan kepada skuad muda negara ini untuk memberikan aksi terbaik dan mampu mencapai sasaran yang diletakkan.

“Sasaran kami sekurang-kurangnya untuk mara sehingga ke pusingan separuh akhir.

Bagi saya, tiada masalah untuk kita mengatasi lawan yang memiliki fizikal yang lebih besar daripada kita.”

Diharap agar pencapaian selaku naib juara di Kejohanan B-17 UEFA Assist Girls pada Mei yang lalu dapat dijadikan pembakar semangat untuk kesemua pemain muda ini meneruskan aksi bertenaga menjelang perlawanan pertama pada 25 Julai ini menentang pasukan Myanmar.