Serahkan tugas ketua jurulatih kepada Fandi Ahmad bermula musim depan adalah tindakan bijak Sri Pahang FC

1,711

Apabila terdapat khabar angin yang mengaitkan legenda Singapura, Fandi Ahmad akan kembali ke Sri Pahang, ramai yang menyangka bahawa beliau akan menggantikan Christophe Gamel sebagai ketua jurulatih.

Namun jangkaan itu ternyata meleset apabila beliau diumumkan sebagai penasihat teknikal manakala pengurus pasukan, Dollah Salleh adalah individu yang akan mengisi jawatan ketua jurulatih sehingga akhir musim ini.


Situasi itu kelihatan sama seperti yang berlaku musim lalu apabila Dollah menggantikan Thomas Dooley yang ‘direhatkan’ hanya selepas dua perlawanan.

Ketika itu, beliau juga sedang menjawat jawatan sebagai pengurus pasukan dan mengambil alih sehingga akhir musim.

Pelantikan Fandi sebagai penasihat teknikal sebenarnya dilihat bersifat sementara dan dijangka akan menggantikan Dollah sebagai ketua jurulatih bermula musim depan.

Ketika ditemuramah Harimau Malaya awal tahun ini, Dollah juga mengakui lebih selesa bertugas di sebalik tabir sebagai pengurus berbanding berada di tepi padang sebagai ketua jurulatih.

Jika ini benar-benar berlaku, ia adalah satu langkah yang bijak daripada pengurusan Sri Pahang memandangkan Dollah lebih mengenali para pemain dan sudah biasa dengan corak permainan pasukan ketika ini.

Jika Fandi mengambil alih kelab ketika ia masih terumbang-ambing ketika ini, mungkin beliau akan menghadapi tekanan yang hebat daripada para peminat sekiranya gagal menampilkan persembahan yang baik.

Proses peralihan juga akan menjadi lebih lancar selepas beliau mengenali para pemain terlebih dahulu dan menerapkan falsafah yang ingin dibawanya sebelum musim baru bermula.

Selain itu, apa sahaja kedudukan yang diduduki Sri Pahang musim ini tidak akan memberi kesan kepada kelab itu kerana format baru Liga Malaysia akan dilaksanakan musim depan dan kelab itu tidak akan tersingkir ke Liga Perdana kerana saingan itu akan dimansuhkan buat sementara waktu.

Jadi Fandi boleh membentuk semula pasukan secara segar bermula musim depan mengikut acuannya sendiri.

Dalam pada itu, perlawanan seterusnya Sri Pahang adalah menentang Penang FC dalam saingan Piala FA di Stadium Darul Makmur.

Ia ibarat satu kebetulan apabila ia bakal menemukan kembali trio barisan serangan Pahang yang digeruni satu ketika dahulu iaitu Dollah, Fandi dan Zainal Abidin yang kini merupakan ketua jurulatih Penang.

Ketiga-tiga legenda itu sememangnya dikenali sebagai rakan baik bukan sahaja ketika beraksi di atas padang tetapi juga di luar.

Peminat Pahang semestinya masih ingat kehebatan mereka bertiga membantu kelab memenangi kejuaraan ‘double’ Liga Perdana dan Piala Malaysia pada tahun 1992.

Walaupun kehadirannya di Pahang tidak lama, beliau tetap dianggap sebagai legenda bola sepak negeri itu.

Selain Pahang, Fandi juga pernah mencatatkan gelaran ‘double’ bersama Kuala Lumpur pada tahun 1988.

Dalam bidang kejurulatihan, namanya juga tidak asing dalam saingan Liga Malaysia kerana pernah membimbing Johor Darul Ta’zim (2012-2013) dan Lions XII (2014-2015).

Beliau juga pernah membawa Lions XII memenangi gelaran Piala FA pada tahun 2015.

Samada Fandi akan diberi tanggungjawab untuk menggalas tugas sebagai ketua jurulatih musim depan ataupun tidak, sama-sama kita nantikan.