Kecewa futsal tidak dipertandingkan di Sukan SEA 2023, simpati dengan nasib pemain muda – Khairul Effendy

986

Pemain utama pasukan Selangor MAC, Khairul Effendy tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya apabila sukan futsal tidak tersenarai di Sukan SEA Kemboja yang akan diadakan pada tahun hadapan.

“Saya berasa sedikit sedih dan kecewa terutamanya terhadap pemain muda yang belum berpeluang beraksi untuk negara di kejohanan tersebut,”

katanya kepada Harimau Malaya

Pemain berusia 36 tahun tersebut telah menjadi antara pemain sandaran utama skuad kebangsaan di bawah kendalian ketua jurulatih, Chiew Chun Yong di beberapa kejohanan utama.


Dalam pada itu, pengalaman yang dimiliki oleh beliau akan turut ditagih oleh pasukan Selangor MAC menjelang aksi perlawanan akhir Piala Malaysia Futsal 2022 menentang Pahang Rangers FC (PRFC).

“Pemain berpengalaman sentiasa memainkan peranan untuk memotivasikan kesemua pemain muda untuk lebih bersemangat bermain di perlawanan akhir.”

Diletakkan sebagai pasukan pilihan, Selangor MAC dilihat tidak mempunyai sebarang masalah untuk bergelar juara ditambah dengan kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri.

“Tiada tekanan yang dirasakan oleh kami kerana kami telah berjaya memenangi MPFL sebelum ini.

Kemenangan di Piala Malaysia Futsal tahun ini akan menjadi sebuah bonus bagi kesemua pemain.”

Sebelum ini, pasukan Selangor MAC telah berjaya dinobatkan selaku juara Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) mengatasi pasukan PRFC dengan kelebihan lima mata.

Lawan mereka, PRFC turut dibarisi oleh beberapa pemain kebangsaan yang akan diletakkan sebagai pemain utama untuk melakukan kejutan terhadap pasukan Selangor.

Pengalaman beraksi bersama di pasukan kebangsaan boleh dimanfaatkan oleh Khairul bagi memastikan pasukannya berjaya mempamerkan aksi cemerlang sepanjang perlawanan.

“Berhadapan dengan rakan sepasukan di skuad kebangsaan memberikan kelebihan dan kekurangan.

Sekiranya kita tahu cara mereka bermain, mereka juga tahu cara kita bermain, tapi kami akan lebih menikmati situasi ini kerana ini merupakan impian kesemua pemain.”

Khairul sebelum ini pernah beraksi di luar negara setelah dipancing oleh sebuah kelab yang berpengkalan di Indonesia, SKN FC.