Kinabalu Jaguar FC fokus untuk jadi juara Liga M3 dahulu sebelum fikir naik ke Liga Super

1,645

Susulan pengumuman penstrukturan saingan Liga Malaysia pada musim hadapan oleh Malaysian Football League (MFL), ramai peminat kini mula mengintai beberapa pasukan dari saingan Liga M3 yang dilihat berpeluang untuk naik ke Liga Super.

Salah sebuah pasukan yang menjadi tumpuan adalah Kinabalu Jaguar FC (KJFC) yang mana mereka kini sedang menerajui Kumpulan A dengan 38 mata sekaligus jauh meninggalkan pasukan di kedudukan kedua dengan perbezaan sembila mata.


Disebalik keterujaan ramai untuk melihat pasukan dari Liga M3 naik ke Liga Super, Ketua Pegawai Eksekutif KJFC iaitu Adzhar Mohamad bagaimanapun berkata mereka masih belum memikirkan soal itu.

“Di pihak KJFC, kami sebelum ini memang telah menyasarkan untuk ke peringkat yang lebih tinggi, tetapi selepas pengumuman oleh MFL baru-baru ini kami memang belum membuat perbincangan fokus ke arah itu.

Ketika ini fokus kami adalah untuk ke peringkat suku akhir terlebih dahulu dan fokus untuk menjuarai saingan Liga M3 sebelum fikir ke Liga Super,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Adzhar juga mengakui pihak KJFC perlu melihat dari banyak aspek sekiranya mereka mahu naik ke Liga Super kerana ia bukan sahaja sangat mencabar dari segi permainan, perlu mewujudkan pasukan di Liga Simpanan, Piala Presiden/Belia dan juga memerlukan perbelanjaan yang besar.

Antara faktor yang menyumbang kepada prestasi cemerlang pasukan KJFC dalam saingan Liga M3 adalah kerana kesemua pemain pasukan itu adalah pemain sepenuh masa dan bukannya pemain separuh masa seperti pasukan lain dalam liga tersebut.

Dalam pada itu, disebalik kejayaan KJFC mencapai keputusan cemerlang, namun Adzhar meluahkan rasa kecewanya apabila kurang mendapat sambutan daripada peminat.

“Sambutan daripada peminat boleh dikatakan agak menyedihkan juga kerana kalau lihat pada setiap perlawanan kerana sambutan kurang memberangsangkan dengan purata peminat hadir sekitar 100 ke 200 sahaja. Paling ramai pun 300 peminat.

KJFC juga akan membuat kelab keahlian buat peminat tetapi sambutan yang diterima juga kurang memberangsangkan.”

Oleh itu, beliau berharap agar peminat bola sepak terutamanya peminat di Sabah FC akan turut memberi sokongan kepada KJFC kerana kedua-dua pasukan ini berasal dari Negeri di Bawah Bayu.

Walaupun kehadiran peminat di stadium agak mengecewakan, Adzhar bagaimanapun agak terkejut dengan sambutan penjualan jersi dan barangan KJFC apabila mereka berjaya mendapat jualan lebih RM120,000.

Sementara itu, selain penjualan barangan eksklusif pasukan, KJFC juga mempunyai perancangan untuk mewujudkan akademi bola sepak mereka sendiri pada masa hadapan sekaligus dapat memberi ruang dan peluang buat anak jati negeri itu sendiri.

“Ketika ini pasukan KJFC dibarisi oleh 100 peratus pemain anak jati Sabah sendiri.”

Pada masa sama beliau turut berharap agar syarikat-syarikat di negeri itu dapat membantu mereka dari segi penajaan untuk mereka terus mengembangkan bakat pemain tempatan untuk dibawa ke peringkat yang lebih tinggi.

Selain mengembangkan bakat pemain tempatan, KJFC juga mempunyai perancangan untuk membina fasiliti sendiri untuk menjadi sebuah kelab bola sepak profesional.